Persiapan raya musnah selepas rumah terbakar

Bernama
Julai 5, 2015 23:36 MYT
Penghuni tiga buah rumah di Jalan Madrasah, Jelutong tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus terbakar. - Gambar Hiasan
Penghuni tiga buah rumah di Jalan Madrasah, Jelutong di sini bukan sahaja tinggal sehelai sepinggang malah persiapan raya juga musnah selepas rumah mereka hangus terbakar dalam kebakaran Ahad malam.
Tiada yang cedera dalam kejadian itu kerana penghuni tiga rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari kebakaran kira-kira pukul 9.25 malam tadi.
Jurucakap bomba dan penyelamat berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.30 malam dan jentera pertama tiba di lokasi kebakaran kira-kira tujuh minit kemudian.
"Ketika pihak bomba sampai, api sedang marak membakar tiga buah rumah dua tingkat yang terletak bersebelahan antara satu sama lain itu.
"Api merebak dengan cepat berikutan rumah-rumah berkenaan diperbuat daripada kayu. Tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang cedera kerana penghuni sempat menyelamatkan diri," katanya di sini.
Jurucakap bomba dan penyelamat itu berkata seramai 38 pegawai dan anggota dengan lima jentera bomba terlibat dalam operasi memadam kebakaran berkenaan.
Katanya pihak bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran dalam masa 10 minit dan kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya sejam kemudian.
"Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata siasatan awal mendapati kebakaran itu bermula di bahagian dapur sebuah daripada rumah yang terlibat.
Ini ekoran penghuninya terlupa memadamkan api di dapur selepas masak, katanya.
Mangsa, Hayati Abu Hassan, 53, berkata tiga buah rumah berkenaan didiami beliau dan tujuh orang anak serta menantu termasuk tiga anaknya yang bisu.
"Habis semua barangan dalam rumah termasuk sedikit persiapan raya yang telah dibuat hangus terbakar, kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa," katanya.
#Jelutong #persiapan Raya #rumah terbakar