Persiapan raya musnah dalam tragedi kebakaran di Putatan
Junaidi Ladjana
April 21, 2021 17:53 MYT
April 21, 2021 17:53 MYT
PUTATAN: Tiga keluarga diuji pada bulan Ramadan apabila kediaman mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Sri Pandan, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian yang bermula pukul 1.50 tengah hari itu, segala persiapan untuk menyambut lebaran termasuk pakaian hari raya untuk anak-anak musnah, namun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Difahamkan api bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke kediaman berhampiran.
Bagaimanapun, pasukan bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak.
Seorang mangsa, Sahidi Tahir, 55, berkata, kejadian itu disedari anak sulungnya yang berada di tingkat atas sebelum memaklumkan biliknya di bahagian tengah terbakar.
"Api bermula dari rumah di bilik tengah di tingkat atas. Anak saya yang dibilik itu berkata bapa, bilik saya terbakar, apabil saya naik sudah berasap. Saya tendang pintu dan memanggil keluar anak-anak.
"Ketika kejadian, saya bersama isteri di tingkat bawah, tiada satu barang yang selamat… pakaian raya anak-anak semua hangus," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zainal @ John Radsung berkata, kebakaran di Kampung Sri Pandan itu melibatkan tiga buah rumah separuh kekal.
Kata beliau, sebanyak tiga keluarga dengan 22 penghuni secara keseluruhannya terjejas dalam tragedi itu.
"Semua mangsa selamat dan tiada yang cedera. Mengikut saksi, kebakaran itu bermula dari rumah depan sebelum merebak di sebelah kiri.
"Bila bomba tiba di sini, kita dapat menyelamatkan (rumah) yang ketiga ini tapi rumah itu musnah 50 peratus," jelas Zainal lagi.
Menurutnya, sebanyak tiga jentera daripada BBP Penampang dan Kota Kinabalu dengan kekuatan seramai 21 anggota terlibat dalam operasi pemadaman api kebakaran itu.
Dalam usaha memadam kebakaran itu, pasukan BBP berhadapan dengan kesukaran tekanan air yang tidak kuat dan terpaksa bergantung harap pada pili bomba.
Cabaran lain yang dihadapi BBP juga, kata Zainal, ialah jentera tanker tidak dapat masuk ke lokasi disebabkan jalan raya yang sempit.
"Operasi bagaimanapun berjaya dikawal pukul 2.45 petang dan dua rumah musnah keseluruhan manakala sebuah rumah terjejas sebanyak 50 peratus," katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya yang turut hadir di lokasi berkata, pihaknya akan membantu keperluan tiga keluarga mangsa kebakaran itu.
"Semua (mangsa) ada menumpang di rumah keluarga masing-masing dan pihak Jabatan Kebajikan Am akan memberi bantuan berbentuk keperluan asas kepada mangsa," katanya.