Persiapan rapi terima 55 individu dibawa pulang dari Iran - Rina

Bernama
Mac 21, 2020 18:03 MYT
Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata JKM akan memainkan peranannya bersama agensi lain dalam menyelaraskan soal kebajikan individu berkenaan di Pusat Pemantauan. - Astro AWANI/ Shahir Omar
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berpuas hati dengan persiapan rapi pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pusat Pemantauan di sini untuk menerima kepulangan 55 individu dari Iran esok.
Beliau berkata pusat berkenaan akan menempatkan individu yang terkandas di Iran itu susulan peningkatan penularan COVID-19 di negara berkenaan dan dijangka tiba di tanah air awal pagi esok menerusi misi khas yang dilaksanakan kerajaan.
"Daripada 55 individu, lapan daripadanya adalah warga Singapura dan seorang warga Indonesia. Kesemua mereka dijangka tiba di sini (Pusat Pemantauan) pada pukul 10.30 pagi," katanya di sini, hari ini.
Turut akan ditempatkan di Pusat Pemantauan itu adalah 23 petugas misi dan kru penerbangan, katanya kepada Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selepas meninjau kemudahan dan persiapan di Pusat Pemantauan di sini, hari ini.
Rina berkata JKM akan memainkan peranannya bersama agensi lain dalam menyelaraskan soal kebajikan individu berkenaan di Pusat Pemantauan.
"Ini termasuk dalam soal penyediaan makanan, aduan, khidmat kaunselor dan juga komunikasi. Selain itu, SOP (prosedur operasi standard) yang kita pakai adalah sama seperti sebelum ini cumanya ditambah baik," katanya.
-- BERNAMA
#coronvirus #COVID19 #Datuk Seri Rina Mohd Harun #Iran #Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM #koronavirus #Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat #Pusat Pemantauan #rakyat Malaysia
;