Persiapan Program MADANI rakyat Zon Tengah lebih 90 peratus
Bernama
Februari 22, 2024 22:18 MYT
Februari 22, 2024 22:18 MYT
KUALA SELANGOR: Persiapan Program MADANI Rakyat Zon Tengah yang akan membuka tirai di pekarangan Kompleks Sukan Kuala Selangor esok, mencecah lebih 90 peratus setakat petang ini.
Ketua Penolong Pengarah Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Raslina Yahya berkata persiapan itu yang bermula awal pagi, melibat beberapa lokasi tumpuan seperti pentas utama, reruai beberapa kementerian dan juga tapak jualan.
"Selain itu terdapat beberapa penambahbaikan yang dibuat oleh pihak kami, seperti menambah jumlah tandas awam, surau dan tempat letak kenderaan," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Raslina berkata antara fokus program kali ini ialah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai kementerian peneraju melalui Jualan Mega MADANI dan Agro MADANI, yang menawarkan harga barangan basah seperti ayam dan telur yang lebih murah, Festival Makanan dengan pelbagai jenis hidnagan serta karnival kerjaya berkaitan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
"Mana-mana mereka lepasan daripada TVET yang menjalani sesi temu duga sepanjang program ini, dijangka berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan 20 hingga 30 peratus.
"Selain itu, menariknya program MADANI kali ini kita menyediakan ruangan petting zoo, sebagai tarikan kanak-kanak," katanya.
Raslina berkata orang ramai juga berpeluang memenangi cabutan bertuah yang lumayan seperti pakej umrah, kereta, motosikal, tudung, telekung eksklusif dan banyak lagi hadiah.
"Dianggarkan 100,000 pengunjung akan menghadiri sepanjang tiga hari program berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, turut diadakan program berselawat bersama-sama ulama-ulama jemputan di program Darul Ehsan Berselawat, yang diadakan di lokasi berkenaan pada 23 Feb (Jumaat) bermula 8.00 malam.
Program MADANI Rakyat Zon Tengah Program yang berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga Ahad ini, merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, menjadi platform masyarakat mendapatkan maklumat tentang 163 perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi yang berkaitan.
-- BERNAMA