Persiapan menjelang Sidang Kemuncak NAM di Baku, Azerbaijan

Hasimi Muhamad
Oktober 22, 2019 05:25 MYT
Sidang Kemuncak ke-18 Ketua Negara dan Kerajaan NAM akan berlangsung pada 25 hingga 26 Oktober. Foto Twitter MFA Azerbaijan
Persiapan menjelang Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 yang diadakan di Baku, Azerbaijan sedang rancak dijalankan.
Sidang Kemuncak yang dijadual berlangsung di Baku Convention Centre dimulakan dengan mesyuarat pegawai kanan pada 21 dan 22 Oktober, sebelum diteruskan dengan mesyuarat menteri pada 23 dan 24 Oktober.
Kemuncak Sidang NAM adalah pada 25 dan 26 Oktober di mana wakil negara anggota NAM akan berucap pada sesi debat umum bagi menyampaikan kenyataan negara masing-masing.
Kenyataan wakil negara dijangka selari dengan sesi debat umum kali ini iaitu "Menegakkan Prinsip Bandung untuk Memastikan Respons Bersepadu dan Bersama Terhadap Cabaran Dunia Kontemporari."
Setakat ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengesahkan kehadiran pada Sidang Kemuncak tersebut, dan dijadual tiba di Baku pada 24 Oktober.
BACA: Hai orang Malaysia, salam dari Azerbaijan!
Baku dan Kuala Lumpur telah mewujudkan hubungan diplomatik penuh pada April 1993.
Untuk tempoh tiga tahun (2019-2022), Azerbaijan akan menjadi Presiden NAM yang merupakan platform antarabangsa kedua terbesar di dunia.
Azerbaijan, yang terletak di persimpangan Eropah Timur dan Asia Barat serta dihuni 10 juta orang, adalah sebuah negara berbilang etnik dan agama, di mana 96 peratus rakyatnya beragama Islam.
Sudah pasti, Sidang Kemuncak NAM ini bakal menjadi platform global untuk Azerbaijan, dan negara Anggota NAM lain berdiskusi dan memperkasakan peranan NAM.
NAM kini dianggotai 120 negara, 17 negara pemerhati dan 10 pertubuhan.
NAM, yang mengadakan sidang kemuncak pertamanya di Belgrade, Yugoslavia pada 1961, ditubuhkan ketika kehangatan Perang Dingin sebagai blok tidak memihak dalam kancah politik antarabangsa bagi negara yang mahu bebas daripada pengaruh kuasa besar diterajui Soviet Union dan Amerika Syarikat ketika itu.
Pengasas NAM adalah Josip Broz Tito dari Yugoslavia, Jawaharlal Nehru (India), Gamal Abdel Nasser (Mesir), Kwame Nkrumah (Ghana) dan Sukarno (Indonesia).
Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak NAM ke-13 pada 2003 sewaktu Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.
#Baku Azerbaijan #debat #Islam #Kuala Lumpur #Mahathir Mohamad #NAM #politik #Prinsip Bandung #Sidang Kemuncak NAM
;