Persiapan dikekalkan bagi hadapi gelombang kedua banjir - Saifuddin Nasution
Bernama
Disember 6, 2024 21:17 MYT
Disember 6, 2024 21:17 MYT
TUMPAT: Segala persiapan keanggotaan dan aset bagi menghadapi gelombang kedua banjir adalah sama seperti gelombang pertama, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata strategi yang sama juga dilaksanakan iaitu memberi keutamaan pada menyelamatkan nyawa dan harta benda.
"Seluruh persiapan kita menghadapi gelombang kedua dan tahap siap siaga itu dikekalkan dan kita berharap prestasi yang serupa digerakkan.
"Pemindahan mangsa-mangsa di PPS (pusat pemindahan sementara) adalah keutamaan kita dan dalam tempoh itu kerajaan juga merekodkan infrastruktur yang rosak akibat banjir," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, di sini hari ini.
Diminta mengulas mengenai operasi pembersihan infrastruktur yang terjejas banjir, Saifuddin Nasution berkata perkara itu akan dilakukan secara berperingkat.
"Tadi dalam mesyuarat jemaaah menteri yang dipengerusikan TPM (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) telah memberikan pembentangan tentang strategi pascabanjr dan diberikan langkah-langkah yang perlu diambil termasuklah skuad sukarelawan MADANI di bawah seliaan KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar).
"Di pihak kementerian saya mengerahkan untuk menggunakan seluruh aset pasukan polis bagi menumpukan gerak kerja pembersihan," katanya.
Pada Isnin lepas, MetMalaysia menjangkakan luruan monsun akan berlaku dari 8 hingga 14 Dis ini di timur Semenanjung dan keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan terbabit dalam tempoh berkenaan.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai larangan rentas sempadan yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand khususnya Sungai Golok yang berkuat kuasa 1 Dis lepas, beliau berkata kerajaan meneruskan perkara berkenaan.
Saifuddin Nasution berkata tiada bantahan diterima daripada mana-mana pihak berhubung larangan tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang tidak lagi membolehkan rakyat Malaysia melalui pangkalan haram.
Diminta mengulas mengenai beberapa suspek warga Malaysia terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan susulan tangkapan dua rakyat negara ini di Thailand, beliau berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kes tersebut.
Pada Rabu lepas, polis Thailand membongkar operasi jenayah siber besar melibatkan aktiviti haram bernilai 3.6 bilion baht (RM467 juta), yang dijalankan menerusi syarikat yang hanya wujud di atas kertas atau 'shell company' dan akaun penama.
Kol Pol Theeraphas Yungyuen dari Biro Siasatan Pusat Thailand dilaporkan berkata semasa operasi di seluruh negara jiran itu pada November, lapan suspek dari Malaysia dikenal pasti terbabit dalam mendaftarkan syarikat tanpa aktiviti tersebut untuk memudahkan pengubahan wang haram dan menguruskan hasil daripada jenayah berkaitan teknologi.
Daripada lapan suspek Malaysia, dua ditahan manakala waran tangkap dikeluarkan terhadap enam lagi individu yang dipercayai berada di luar negara, kemungkinan di Malaysia atau Kemboja.
-- BERNAMA