Persiapan banjir: Selangor arah JKM sedia kemudahan asas sekali ganda

Bernama
Oktober 4, 2023 17:14 MYT
Amirudin Shari ketika sidang media berhubung keputusan terkini Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini. -Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan kelengkapan bantuan asas banjir untuk kira-kira 10,000 mangsa, iaitu kenaikan sekali ganda berbanding jumlah persiapan untuk bencana tersebut sebelum ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata hal berkenaan berikutan berlaku lebihan mangsa banjir daripada jumlah bantuan yang disediakan ketika bencana itu pada 2021.
"Saya mengarahkan JKM menyediakan tambahan sekali ganda kerana kita bimbang berlaku sebagaimana (banjir 2021) berikutan ada lebihan mangsa banjir," katanya pada sidang media khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata beliau telah meminta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Tentera Malaysia untuk menyediakan aset berkaitan dan memastikan ia berada dalam keadaan baik.
Katanya pembelian beberapa bot di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) juga telah dilaksanakan tahun lepas manakala latihan serta simulasi berkaitan bencana itu juga dilakukan.
"Kita juga mengarahkan semua PBT, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya serta jabatan berkaitan untuk segera membersihkan kolam takungan, saliran, parit dan longkang terutama di kawasan berisiko tinggi banjir.
"Ini bagi membolehkan sistem saliran air berfungsi secara optimum sebelum memasuki awal November," katanya dan menambah pusat media juga akan dibuka di Bangunan SUK atau di tempat yang ditetapkan untuk menyalurkan info terkini berkaitan bencana.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata bermula 25 Okt ini, seramai 760 imam seluruh negeri akan menerima bayaran bulanan yang ditingkatkan daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan yang akan diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor.
Beliau berkata elaun bagi 1,900 nazir, bilal, dan siak akan dinaikkan sebanyak RM50 sebulan menjadikan RM300 elaun sebulan untuk nazir, RM340 (bilal) serta RM290 (siak).
Amirudin berkata kerajaan Selangor juga akan memberikan RM1,000 kepada 500 pengusaha dalam bidang tanaman, ternakan, akuakultur, industri asas tani serta nelayan sebagai bantuan dan insentif agar kadar pengeluaran pertanian dapat ditingkatkan.
"Pemberian akan dibuat dalam bentuk tunai sebanyak RM500 manakala bakinya akan diberikan menerusi input tanaman, peralatan dan bahan mentah yang akan mula diserahkan pada 31 Okt ini melalui kerjasama Agro Bank Selangor serta Koperasi Kohijrah Warga Hijrah Selangor Bhd," katanya.
Selain itu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan mengecualikan cukai taksiran bagi 426,656 rumah kos rendah dan rumah kampung di Selangor untuk tempoh penggal kedua iaitu dari 1 Julai 2023 hingga 31 Dis 2023 membabitkan implikasi kewangan lebih RM29 juta.
-- BERNAMA
#Amirudin Shari #jkm #kelengkapan bantuan asas banjir #persiapan untuk bencana
;