Persiapan awal untuk perhimpunan agung UMNO
Astro Awani
November 30, 2013 08:48 MYT
November 30, 2013 08:48 MYT
Persiapan menjelang perhimpunan agung UMNO kali ke-67 tahun ini dibuat lebih awal bagi memastikan ia berjalan dengan lancar dan teratur.
Menurut setiausaha kerjanya, Datuk Abdul Rauf Jusoh, beberapa insiden seperti Pilihan Raya Umum ke-13 dan Pemilihan UMNO baru-baru ini juga merupakan pendorong bagi parti itu bersedia dengan lebih mantap.
Jelas Abdul Rauf, pelbagai penambahnaikan dilakukan, antaranya memperluas ruang media demi keselesaan petugas media beroperasi.
“Kita melihat perubahan kali ini mencerminkan bahawa ibupejabat sentiasa prihatin terhadap peranan yangh dimainkan media dalam perhimpunan agung UMNO,” katanya.
Selain itu, para perwakilan dan juga pemerhati politik disediakan tempat khas semasa perhimpunan berlangsung.
Seramai 5,726 anggota perwakilan UMNO dari seluruh negara dijadual menghadiri perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 2 Disember ini.
Daripada jumlah itu, 2,759 hadir untuk perhimpunan agung, manakala perhimpunan pergerakan wanita, pemuda dan puteri masing-masing akan disertai 989 anggota perwakilan.