Persiapan Aidilfitri musnah, rumah sewa terbakar

Azee Shafy
April 30, 2022 10:59 MYT
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan dua orang mangsa sempat menyelamatkan diri sebelum api marak. - Gambar/ Astro AWANI
BERA: Sekumpulan penyewa terpaksa menyambut Hari Raya tidak lama lagi dalam keadaan sehelai sepinggang apabila rumah sewa mereka musnah dalam kebakaran di Taman Cheng Siew dekat Triang, di sini, pada Sabtu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.29 tengah hari itu melibatkan dua rumah dua tingkat.
Difahamkan, sebuah rumah mempunyai kira-kira 11 bilik yang disewakan, manakala sebuah lagi rumah tidak berpenghuni.
Menurutnya jurucakap bomba itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan dua orang mangsa sempat menyelamatkan diri sebelum api marak, manakala yang lain tiada di rumah kerana bekerja.
"Bahagian atas rumah (yang menyediakan bilik sewa) mempunyai empat bilik musnah 70 peratus.
"Bahagian bawah pula yang mempunyai tujuh bilik musnah 20 peratus," katanya di sini pada Sabtu.
Mangsa, Zuriah Majid, 39, memberitahu, semasa kejadian dia sedang tidur namun terkejut mendengar jeritan jiran.
"Saya menyewa di bahagian bawah. Masa tu, saya baru balik dari kerja, jadi saya rehat dalam bilik dan tertidur. Tapi, saya terkejut bila dengar orang menjerit-jerit.
"Memang tak sempat nak buat apa-apa, saya ambil apa yang perlu sahaja," katanya ketika ditemui di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Wan Rozimi Wan Omar, 42, memberitahu semasa kejadian dia sedang berehat di belakang rumah selepas pulang dari kerja.
Katanya, pada awalnya, dia tidak perasan bahagian atas rumah terbakar sehingga jiran berdekatan menjerit meminta mereka keluar dari rumah itu.
"Memang tak perasan bahagian atas terbakar sebab saya balik kerja pun dah letih. Tapi bila jiran jerit beritahu ada asap, ada api... saya cepat-cepat keluar.
"Cuma tak sangka, dalam beberapa hari nak sambut Hari Raya, keadaan ini berlaku kepada kami," ujarnya.
Sementara itu, bomba berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.
#rumah terbakar #persiapan raya musnah #Bera #taman cheng siew