Persepsi SPRM hanya tangkap ‘bilis’ mesti ditangani dengan keupayaan siasatan canggih - Penganalisis
Irfan Faruqi
Mac 4, 2025 21:20 MYT
Mac 4, 2025 21:20 MYT
Penganalisis berpandangan SPRM tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada pesalah-pesalah kecil, sebaliknya perlu memburu kes rasuah besar. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Persepsi negatif terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengaitkan agensi itu dengan bersikap pilih bulu dalam siasatannya adalah berdasarkan kepada statistik siasatan badan berkanun itu.
Ringkasan AI
- Persepsi negatif terhadap SPRM: Statistik menunjukkan SPRM lebih banyak menyiasat penjawat awam berbanding ahli politik, menimbulkan persepsi pilih bulu dalam siasatan mereka.
- Keperluan memburu kes berprofil tinggi: Penganalisis mencadangkan SPRM harus fokus pada kes rasuah berprofil tinggi dan menggunakan teknologi penyiasatan terkini.
- Peruntukan dan kemudahan siasatan: SPRM memerlukan lebih banyak peruntukan untuk meningkatkan kemahiran penyiasatan pegawai dan mendapatkan teknologi penyiasatan canggih.
Penganalisis berpandangan, SPRM tidak boleh lagi hanya memberi tumpuan kepada pesalah-pesalah kecil, sebaliknya perlu memburu kes rasuah berprofil tinggi dengan menggunakan keupayaan penyiasatan terkini.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia, Badlishah Sham Baharin berkata, statistik SPRM sendiri menunjukkan siasatan terhadap ahli politik adalah terlalu sedikit berbanding kes melibatkan penjawat awam yang menyebabkan orang awam ragu-ragu dengan ketelusan siasatan SPRM.
“Data pendakwaan SPRM pada tahun 2022 melaporkan jumlah individu yang dituduh adalah seramai 575 orang. Daripada jumlah itu, penjawat orang merupakan kumpulan tertinggi iaitu seramai 296 orang.
“Tetapi ahli politik hanya empat orang. Ini memberi gambaran, seolah-olah ada pendakwaan terpilih, campur tangan dan sebagainya. Persepsi seperti ini, walaupun ia hanya persepsi, ia timbul daripada tindakan SPRM itu sendiri.
“Jika kita mahu SPRM agresif dalam memerangi rasuah, maka SPRM juga mesti adil dengan menangkap ‘jerung’, bukan ‘bilis’ sahaja. Kita tahu ‘jerung’ ambil duit yang diseleweng jauh lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Oleh itu, dalam program yang sama, Penganalisis Rasuah, Noor Mohamad Shakil Hameed mahu SPRM diberikan peruntukan lebih banyak dengan kemudahan siasatan canggih.
Menurutnya, peruntukan itu bagi memboleh badan pencegahan rasuah membina bakat dan kemahiran penyiasatan kepada para pegawainya. Di samping itu, peruntukan berkenaan bertujuan mendapatkan pelbagai kelengkapan teknologi penyiasatan terkini.
“Kita harap pihak kerajaan berikan peruntukan yang lebih kepada SPRM supaya sumber manusia dan pegawai-pegawai penyiasat ini diperkasakan dari segi kemahiran terutama dari segi teknologi baharu untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI), analisis data dan sebagainya.
“Teknologi dan kemahiran ini boleh membantu untuk menyediakan dokumen dan bahan bukti secukupnya supaya apabila kes-kes ini dibawa ke mahkamah atau Peguam Negara nanti, lengkap segala keterangan yang diperlukan. Seterusnya boleh dibawa untuk pendakwaan,” ujarnya.
Pada Isnin, Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan siasatan terhadap rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Azam dilaporkan berkata, bekas pemimpin itu merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safehouse susulan serbuan dilakukan pihaknya.
Agenda AWANI: Rasuah kecil atau besar, lawan!