Persepsi Rizal penjawat awam takut, geruni Rosmah tidak berasas - Saksi

Bernama
Disember 24, 2021 18:58 MYT
Siti Azizah (saksi) tidak bersetuju dengan persepsi Rizal (kanan) yang menyatakan Rosmah amat berpengaruh terhadap penjawat awam. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa persepi Datuk Rizal Mansor yang menyatakan penjawat awam 'takut' dan 'menggeruni' Datin Seri Rosmah Mansor adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.
Bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, 72, berkata walaupun Rosmah aktif dalam kerja-kerja sosial dan amal, isteri bekas perdana menteri itu tidak pernah berhubung secara langsung dengan pegawai-pegawai kerajaan.
"Ini kerana, adalah tanggungjawab dan tugas saya sebagai Pengarah Bahagian First Lady Of Malaysia (FLOM) dan juga Pegawai Khas kepada Perdana Menteri yang bertanggungjawab menyelia program berkaitan isteri Perdana Menteri.
"Sebaliknya interaksi beliau (Rosmah) dengan pegawai-pegawai kerajaan telah melalui saya sebagai pengarah, dan semua urusan tersebut adalah secara formal melalui mesyuarat," katanya.
Saksi pembelaan kedua itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada prosiding membela diri Rosmah terhadap tiga pertuduhan rasuah yang dihadapinya, berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Siti Azizah juga tidak bersetuju dengan persepsi Rizal yang menyatakan Rosmah amat berpengaruh terhadap penjawat awam, kerana sepanjang bekerja beliau tidak pernah mendengar Rosmah menukarkan sebarang penjawat awam.
Saksi itu yang mengenali Rosmah semasa menuntut di Universiti Malaya sejak 1971, berkata semasa bertugas dengan Rosmah, beliau seorang yang berkebolehan, bijak, cerdik, 'hands on' dan 'perfectionist'.
"Walau bagaimanapun, apa yang memudahkan kami dalam menjalankan tugasan harian, kerana Datin Seri Rosmah amat jelas dengan apa yang diperlukan dari segi objektif dan hasil atau 'outcome' sesuatu tugasan. Beliau tidak pernah campur tangan atau 'interfere' dalam proses kami menjalankan tugas sebagi pegawai bahagian FLOM," katanya.
Bercakap mengenai jawatan Rizal di Pejabat Perdana Menteri, Siti Azizah berkata, walaupun nama jawatan Rizal berubah sepanjang beliau bertugas di pejabat tersebut seperti Penolong Pegawai Tugas-Tugas Khas dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, namun tidak terdapat nama jawatan Pegawai Khas kepada isteri Perdana Menteri seperti yang dinyatakan oleh Rizal.
"Ini adalah semata-mata interpretasi Rizal sendiri dan mungkin baginya dengan nama jawatan sedemikian, ia akan menaikkan imej dan 'importance' beliau dalam kalangan mereka yang berurusan secara langsung dengannya," katanya.
Pada 18 Februari lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal, sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 10 Jan depan dengan Najib akan memberi keterangan.
-- BERNAMA
#Rosmah Mansor #Rizal Mansor #penjawat awam #mahkamah
;