Persepsi rakyat terhadap SPRM tidak terjejas - Mustafa
Tan Su Lin
September 3, 2015 20:27 MYT
September 3, 2015 20:27 MYT
Biarpun timbul pelbagai isu berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, sentimen dan persepsi rakyat terhadap badan penyiasat itu tidak terjejas.
Sebaliknya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafa Ali berkata, persepsi rakyat terhadap agensi berkenaan kini semakin positif.
Menurutnya, persepsi positif rakyat terhadap agensi itu menunjukkan peningkatan daripada 54 peratus kepada 68 peratus ketika ini.
"Macam-macam sentimen dikaitkan. Tetapi apa yang saya nampak sekarang ini amat positif. Saya nampak sentimen keyakinan rakyat terhadap SPRM sangat tinggi.
"Mereka menyokong SPRM atas apa jua kapasiti, tanggungjawab dan fungsi yang dilakukan," katanya ketika ditemui selepas sesi bengkel sempena Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 di Putrajaya.
Tambahnya, SPRM kini mensasarkan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap badan itu kepada 70 peratus menjelang tahun hadapan.
Dalam pada itu, Mustafa meminta semua pihak menghormati keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak hadir pada persidangan IACC.
"Bagi SPRM dan kerajaan, keputusan ini dibuat oleh Perdana Menteri. Jadi itu sahaja saya boleh cakap. Beliau merupakan ketua kerajaan jadi keputusannya kita mesti hormat."
Najib dijadual merasmikan persidangan berkenaan pada Rabu.
Bagaimanapun, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan menegaskan Najib dinasihatkan untuk tidak hadir atas faktor keselamatan.