Persepsi polis paling korup, 13 peratus pernah 'suap' polis
Astro Awani
Februari 28, 2017 17:12 MYT
Februari 28, 2017 17:12 MYT
Kaji selidik Barometer Rasuah Global (GCB) 2017 menunjukkan polis masih dibayangi persepsi sebagai institusi paling korup di mata masyarakat.
Berdasarkan tinjauan terhadap 1,009 responden di seluruh Malaysia oleh Transparency International-Malaysia (TI-M), 57 peratus berpandangan polis paling korup.
Lebih mengejutkan, Presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar mendedahkan 13 peratus daripada responden mengakui pernah memberi rasuah kepada anggota polis.
"Bagaimanapun, peratusan responden yang anggap polis paling korup telah menurun berbanding empat tahun lalu yang menyaksikan 76% responden melihat pasukan itu sebagai paling korup," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Selain itu, badan lain yang dilihat korup ialah penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (48 peratus), eksekutif perniagaan (46 peratus), kakitangan kerajaan (45 peratus).
Masing-masing 41 peratus responden juga mempunyai persepsi bahawa Perdana Menteri dan pegawainya terlibat dengan penyelewengan selain wakil-wakil rakyat.