Persepsi kehadiran PPD di sekolah sebagai 'mencari salah' perlu diubah - Radzi
Bernama
Julai 22, 2022 13:48 MYT
Julai 22, 2022 13:48 MYT
KUALA LUMPUR: Persepsi atau tanggapan kehadiran Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) di sekolah sebagai 'mencari salah' perlu diubah malah PPD perlu menjadi rakan yang sentiasa berusaha membantu sekolah, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin.
Menerusi catatan di Facebook rasmi beliau, Radzi berkata sebagai institusi yang paling dekat dengan sekolah, PPD seharusnya menjadi ejen yang bertanggungjawab menyebar secara meluas dan menjelaskan tentang dasar, perancangan serta hala tuju pendidikan negara yang digariskan Kementerian Pendidikan (KPM) kepada kumpulan sasar iaitu guru, sekolah dan ibu bapa.
"Pegawai PPD perlu sentiasa hadir di sekolah bagi mengenal pasti masalah, keperluan serta mencari penyelesaian segera kepada perkara itu. PPD perlu menjadi pemudah cara antara pihak sekolah dengan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan KPM sekiranya perkara itu tidak boleh diselesaikan di peringkat PPD.
"Mengukuhkan keyakinan serta kepercayaan antara PPD-Sekolah-Guru. Hubungan baik antara PPD, pentadbir sekolah dan guru akan membantu kelancaran pelaksanaan setiap dasar, perancangan serta transformasi pendidikan yang digariskan kementerian," menurut catatan itu.
Radzi berkata ini adalah antara penekanan yang digariskan beliau ketika bertemu dengan 146 pegawai PPD dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Sabah dan Labuan yang menyertai siri kedua Konvensyen PPD di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek, Negeri Sembilan malam tadi.
Konvensyen itu adalah susulan konvensyen pertama minggu lepas yang melibatkan 142 pegawai PPD dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Pahang dan Sarawak.
Bagi memastikan pegawai PPD dapat menjalankan tanggungjawab dengan cekap dan secara optimum, Radzi berkata KPM sentiasa berusaha memperkasakan sistem penyampaian agar maklumat yang tepat dapat disalurkan antara KPM-JPN-PPD-Sekolah.
"Dengan pengalaman serta hubungan baik sedia ada antara PPD, sekolah dan juga guru, saya yakin usaha memperkukuh peranan pegawai PPD ini boleh dilakukan seiring transformasi pendidikan yang digariskan KPM.
"Bersama lakukan perubahan! Nothing beats hard work! (usaha tangga kejayaan)," katanya.
-- BERNAMA