Persenda OKU: Polis ambil keterangan lima individu

Bernama
Disember 11, 2021 22:20 MYT
Kesemua mereka yang berusia lingkungan 30-an memberi keterangan pada kira-kira 2 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul. - Gambar/ Media sosial
KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil keterangan dua lelaki dan tiga wanita hari ini bagi membantu siasatan kes mempersendakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) serta menyalahgunakan kemudahan golongan itu yang tular menerusi media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 30-an memberi keterangan pada kira-kira 2 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini.
"Kesemua mereka yang terlibat dalam dua video tular berasingan selesai memberi keterangan pada 8 malam tadi termasuk seorang wanita yang bertindak merakam video berkenaan," katanya yang dihubungi Bernama hari ini.
Rabu lepas, tular dua video masing-masing memaparkan tindakan dua lelaki berlagak sebagai OKU dan mempersendakan tempat letak kereta OKU di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.
Sementara satu lagi video memaparkan dua wanita bertindak menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak selain bertindak mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang.
Sebelum ini, Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang menyalahgunakan kemudahan yang dikhaskan untuk golongan OKU.
-- BERNAMA
#persenda OKU #salah guna kemudahan OKU #Tular #polis ambil keterangan
;