Persenda OKU: Pinda Akta 588 untuk beri hukuman lebih berat
Bernama
Mac 21, 2022 18:10 MYT
Mac 21, 2022 18:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta meminda Seksyen 233 (1) (b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) berkenaan perbuatan memalukan fizikal seseorang, dengan memasukkan hukuman lebih berat terhadap pihak yang mempersenda golongan itu.
Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata cadangan itu, bagi memastikan perbuatan mempersenda dan mendiskriminasi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak terus berleluasa, terutama di media sosial.
"Saya ingin tegaskan di dewan yang mulia ini bahawa, tindakan berlakon seperti OKU untuk menjadi popular dan sebagai kandungan media sosial, adalah satu perbuatan keji dan jijik.
"Ini kerana OKU juga mempunyai hati, perasaan dan sensitiviti yang harus dihormati oleh semua segmen masyarakat," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.
Beliau juga mahu Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mempersenda golongan OKU, dan berusaha memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi.
Katanya tindakan individu yang berterusan mempersendakan OKU sejak kebelakangan ini, menunjukkan kerapuhan dan kelemahan Akta OKU 2008, yang sehingga kini tidak dibentangkan lagi di Dewan Rakyat mahupun di Dewan Negara.
Dalam pada itu, Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral turut mencadangkan pelantikan seorang wakil OKU dalam Majlis Pekerjaan Negara, bagi memastikan isu pengangguran dan peluang pekerjaan kepada golongan itu dapat dikendalikan dengan baik.
Jelasnya pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi ketika ini telah menyebabkan ramai individu hilang sumber pendapatan termasuk OKU, yang sebelum ini telah sedia bergelut untuk mendapat pekerjaan akibat ketidakupayaan mereka.
"Oleh itu saya ingin tahu apakah tindakan Kementerian Sumber Manusia bagi menurunkan kadar pengangguran OKU, dan jumlah pekerjaan baharu yang diwujudkan kepada golongan OKU serta jumlah mereka yang menerima manfaat, melalui program kementerian seperti MyFutureJobs," katanya.
-- BERNAMA