Persenda Islam: Teman wanita Alvin Tan, Vivian Lee tak perlu ke penjara

Bernama
April 10, 2018 16:18 MYT
Vivian dan Alvin didakwa menerbitkan satu penerbitan menghasut iaitu gambar dan komen bertajuk Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh... wangi, enak, menyelerakan!!!) yang mengandungi logo halal. - Gambar fail
Bekas teman wanita kepada blogger Alvin Tan, Vivian Lee yang disabitkan dengan pertuduhan menerbitkan satu penerbitan menghasut yang mempersenda agama Islam di laman Facebook mereka, terlepas hukuman penjara selepas mahkamah tinggi menggantikan hukuman itu dengan denda RM5,000.
Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan wanita berkenaan untuk menggantikan hukuman penjara dengan denda dan menolak rayuan pendakwaan untuk memanjangkan tempoh pemenjaraan daripada lima bulan 22 hari kepada penjara setahun.
Pada 27 Mei 2016, mahkamah sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan 22 hari terhadap Vivian selepas wanita tersebut didapati bersalah atas pertuduhan itu.
Vivian, 29, yang diwakili peguam Chong Joo Tian juga berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar jumlah denda yang ditetapkan.
Hakim turut menasihatkan Vivian agar tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa depan dan memberi amaran hukuman lebih serius jika tertuduh melakukan kesilapan sama.
Vivian dan Alvin didakwa menerbitkan satu penerbitan menghasut iaitu gambar dan komen bertajuk ‘Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh... wangi, enak, menyelerakan!!!)’ yang mengandungi logo halal di laman Facebook mereka iaitu ‘Alvin dan Vivian-Alvivi’.
Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu pada 9 pagi, 13 Julai 2013 mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Sementara itu, Wan Shaharuddin yang ditemui di luar mahkamah memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada Khamis ini. - Bernama
#akta hasutan #Alvin Tan #berpuasa #Facebook #Mahkamah Rayuan #penjara #persenda Islam #Vivian Lee
;