Persenda Islam: Bekas teman wanita Alvin Tan, Vivian Lee dipenjara lima bulan 22 hari
Bernama
Mei 27, 2016 15:59 MYT
Mei 27, 2016 15:59 MYT
Bekas teman wanita kepada blogger Alvin Tan, dipenjara lima bulan 22 hari oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyiarkan gambar mereka berserta kapsyen mempersenda agama Islam, di laman facebook mereka.
Hakim Abdul Rashid Daud menjatuhi hukuman itu terhadap Vivian Lee atau Lee May Ling, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Abdul Rashid memerintahkan Lee menjalani hukuman itu bermula hari ini.
Pada mulanya Abdul Rashid menjatuhi hukuman penjara enam bulan, bagaimanapun beliau membenarkan permohonan peguam Chong Joo Tian yang mewakili Lee, supaya penjara enam bulan itu ditolak dengan tempoh lapan hari tahanan reman anak guamnya.
Hakim itu juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi menaikkan jumlah jaminan terhadap tertuduh daripada RM10,000 kepada RM20,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Beliau bagaimanapun menolak permohonan pembelaan supaya tertuduh dikenakan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik kerana hukuman itu tidak sesuai.
Dalam penghakimannya, Abdul Rashid berkata tertuduh seorang yang berpelajaran serta berpengetahuan dan seharusnya boleh memikirkan dahulu sensitiviti masyarakat dan agama Islam secara khususnya, sebelum membuat tindakan itu.
"Mahkamah bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa tindakan tertuduh seperti 'nasi sudah menjadi bubur' walaupun tertuduh mengemukakan permohonan maaf dan ampun.
"Selepas mendengar dan meneliti segala keterangan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan terhadap pertuduhan tersebut," katanya.
Terdahulu, Chong memohon hukuman berbentuk bon berkelakuan baik atas alasan kesalahan yang dilakukan oleh anak guamnya itu tidak melibatkan keganasan atau kecederaan terhadap masyarakat.
Katanya tertuduh tidak terlibat dalam kesalahan itu dan mahkamah sewajarnya memberi peluang kedua kerana dia telah insaf dengan apa yang dilakukan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon hukuman penjara antara 20 dan 24 bulan ke atas tertuduh kerana ia merupakan kesalahan serius dan melibatkan kepentingan awam.
Mengikut pertuduhan, Lee dan bekas teman lelakinya itu, didakwa menyiarkan gambar mereka sedang menikmati hidangan dengan kapsyen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising)' dan mengandungi logo halal di laman Facebook mereka.
Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu pada 9 pagi, 13 Julai 2013 mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika ditanya pemberita berhubung prosiding terhadap Alvin Tan, Wan Shaharuddin berkata pendakwaan terhadapnya masih berkuat kuasa walaupun dia (Alvin Tan) tiada di negara ini.
Wan Shaharuddin juga meminta pihak polis mempercepatkan proses undang-undang sedia ada bagi membolehkan Alvin Tan dibawa pulang ke negara ini dan dibicarakan terhadap pertuduhan itu.