Persenda agama Islam dalam FB, JMM Perak buat laporan polis

Bernama
Ogos 1, 2014 18:35 MYT
Persenda agama Islam dalam FB, JMM Perak buat laporan polis
Jaringan Melayu Malaysia (JMM) negeri Perak hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan seorang individu dikenali sebagai Kelvin Yip yang memuat naik status di laman sosial Facebook yang mempersendakan agama Islam.
Laporan polis dibuat Ketua Pengarah JMM Perak Hamdan Mohd Salleh bersama-sama beberapa anggota badan bukan kerajaan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini pada pukul 3.25 petang.
Hamdan berkata perbuatan individu terbabit adalah provokasi berniat jahat dan satu gerakan yang terancang untuk merosakkan hubungan antara kaum di negara ini serta menggugat ketenteraman awam.
"Kami dari JMM Perak meminta kerajaan mempertimbangkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri antaranya untuk menangani kejadian seperti ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.
Beliau berkata JMM Perak akan terus menggesa kerajaan supaya tidak berdiam diri dalam membendung perkara seumpama itu supaya keharmonian negara tidak tergugat oleh anasir halus terutama di media sosial.
#agama islam #hina #Kelvin Yip
;