Persempadanan: Tubuh badan bebas, bukan sahaja tertumpu kepada SPR - Penganalisis

Isabelle Leong
Mac 25, 2021 15:20 MYT
Menurut Amer Saifude Ghazali, jika terdapat mana-mana parti politik yang mahu melaksanakana proses persempadanan semula itu, ia adalah tidak tepat dari segi asas dan prinsip. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebuah badan bebas harus ditubuhkan bagi melaksanakan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dan bukan sahaja tertumpu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Penganalisis Pilihan Raya, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya, Amer Saifude Ghazali berkata penubuhan badan bebas tersebut adalah bagi memastikan segala urusan persempadanan semula dapat dilaksanakan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.
“Cara yang paling ideal adalah melibatkan wakil parti-parti politik, komuniti, masyarakat, pihak berkepentingan dan pengundi kawasan berkenaan.
“Itu satu jaminan yang saya rasakan agak baik yang mana mereka boleh mengemukakan pendapat yang tidak berasaskan kepada parti-parti tertentu dan parti yang ingin mencapai kemenangan.
“Kami berikan peluang kepada penduduk untuk mencadangkan proses persempadanan semula supaya dapat mengurangkan ‘gerrymandering’, pembahagian tidak sekata dan mewujudkan kawasan persempadanan yang betul-betul adil kepada semua pihak,” kata beliau dalam temu bual bersama Buletin AWANI pada Khamis.
Persempadanan | Antara kebajikan rakyat dan politik nombor, di mana keperluannya?
Mengulas lanjut, Amer berkata, asas kepada persempadanan semula adalah terdapat pertambahan penduduk dan bukannya semata-mata atas alasan mana-mana parti politik yang ingin melaksanakannya untuk kepentingan sendiri.
“Jika terdapat mana-mana parti politik yang mahu melaksanakana proses persempadanan semula itu, ia adalah tidak tepat dari segi asas dan prinsip.
“SPR akan melakukan proses persempadanan semula setelah jumlah penduduk mencapai jumlah tertentu
“Itu asas dan pertimbangan kepada proses persempadanan semula,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Strategi Pas Pusat, Datuk Mohd Khairudin Aman Razali dilaporkan berkata Pas menyatakan hasrat untuk mengubah sempadan bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen jika parti itu bersama-sama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan majoriti dua pertiga.
#persempadanan semula #Badan Bebas #Suruhanjaya Pilihan Raya #SPR #politik #pilihan raya umum #Parlimen #gerrymandering #PAS #UMNO #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #Bersatu #Dr Mohd Khairudin Aman Razali
;