Persempadanan semula SPR akan wujudkan polarisasi kaum - Nurul Izzah

Hafiz Marzukhi
September 18, 2016 12:37 MYT
NURUL IZZAH: Tidak adil dan beri kesan buruk. - Gambar fail
Persempadanan semula yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mewujudkan polarisasi kaum di Malaysia.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata ini merupakan satu 'pengkhianatan' kepada sistem demokrasi dan perlembagaan Malaysia.
"Jika diteliti setiap perubahan yang dibuat, terdapat perubahan ketara dari segi penambahan bilangan pengundi Melayu di kawasan-kawasan yang ditandingi UMNO manakala kawasan-kawasan yang dimenangi pembangkang melihat peningkatan dari segi pengundi bukan Melayu," kata Nurul Izzah.
Tambah beliau, perubahan ini harus dibantah kerana ia tidak adil dan akan memberi kesan buruk kepada negara dalam jangka masa panjang.
Pendapat beliau turut dikongsi pimpinan PKR yang lain, termasuk Naib Presiden Tian Chua.
"Persoalan utama di sini bukanlah parti mana yang akan menerima kekalahan.
"Ini melibatkan masa depan negara dan jika ia tidak ditangani pada masa ini, ia akan mewujudkan polarisasi kaum yang begitu ketara," kata beliau.
Mereka berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pagi ini.
Turut hadir, pimpinan tertinggi PKR yang lain serta Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dari DAP.
#demokrasi #Nurul Izzah Anwar #persempadanan semula #polarisasi kaum #SPR
;