Persembahan hiburan: Bukan soal tutup pintu, tetapi perlu ikut peraturan - Mohd Amar

Muhafandi Muhamad
September 26, 2019 08:15 MYT
Mohd Amar berkata, kerajaan negeri tidak bersikap tutup pintu dalam soal kebudayaan dan kesenian sebaliknya setiap persembahan kebudayaan itu perlu menepati peraturan yang ditetapkan. Astro AWANI
Kerajaan negeri masih mengekalkan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 yang melarang persembahan oleh wanita di atas pentas, yang ditonton kaum lelaki.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kawalan tersebut meliputi sebarang persembahan kebudayaan melibatkan artis wanita, termasuk persembahan teater.
"Setakat ini, memang kita tak benarkan. Hanya boleh dibuat untuk penonton wanita, contohnya persembahan artis wanita, hanya boleh untuk penonton wanita.
"Kita sendiri pernah buat di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK). Artis wanita datang dari Kuala Lumpur, buat persembahan, tetapi yang hadir hanyalah penonton wanita. Tiada masalah kalau ia sama jantina," katanya.
Enakmen berkenaan turut mensyaratkan pengasingan antara wanita dan lelaki dalam sesuatu tempat.
Baru-baru ini, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan disaman oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI) kerana tidak memohon permit hiburan untuk pementasan teater sempena Karnival Teater Kelantan 2019.
Selain itu, JKKN juga turut diberi amaran selepas tidak melakukan pengasingan antara penonton wanita dan lelaki selain pementasan teater yang turut melibatkan wanita.
Walaupun persembahan tersebut berlangsung di Auditorium JKKN Kelantan, Mohd Amar berkata, ia memerlukan permit hiburan yang dikeluarkan oleh MPKB-BRI.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, kerajaan negeri tidak bersikap tutup pintu dalam soal kebudayaan dan kesenian sebaliknya setiap persembahan kebudayaan itu perlu menepati peraturan yang ditetapkan.
Pada masa yang sama, penggiat seni dan pihak berkaitan perlu kreatif dalam karya seni mereka supaya setiap persembahan itu dapat disesuaikan dengan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Kerajaan negeri memberikan sokongan membenarkan persembahan asalkan ia mematuhi syarat yang ditetapkan.
#artis #enakmen #hiburan #ikut peraturan #kawalan #kebudayaan #Kelantan #kesenian #lelaki dan wanita #Mohd Amar Nik Abdullah #MPKB-BRI #patuh syarat #pengasingan #penonton #pentas #permit hiburan #persembahan #saman #teater #tutup pintu #wanita
;