Persemadian kompleks 'otai' di Jalan Ampang
Wan Syamsul Amly
Oktober 16, 2015 11:22 MYT
Oktober 16, 2015 11:22 MYT
ADA pepatah mengatakan kehidupan seseorang bermula pada usia 40 tahun. Kata pujangga itu juga menyamakan angka 40 sebagai lambang kematangan bagi sesiapa sahaja.
Saya sendiri belum berusia 40 tahun. Maknanya mudah, saya dikira masih belum matang dan kehidupan juga diandaikan masih belum bermula.
Bagaimanapun, angka itu sebenarnya tidak boleh disamakan dengan sebuah pusat membeli belah 'otai' di ibu kota.
Ia kini berusia 42 tahun, pusat membeli belah tertua di ibu kota, Ampang Park sudah meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-40 pada 2013.
Selepas kelahirannya pada 15 Mac 1973, bangunan itu sebenarnya tidak pernah sunyi daripada pengunjung tetapnya.
Sejak dari awal 1970-an, ia terus membangun dan menjadi sebuah kompleks tersohor di ibukota serta lokasi 'impian’ untuk pengunjung terutama dari kampung yang tiba ke Kuala Lumpur.
Pada masa itu, nama Ampang Park dilihat begitu gah dan menjadi siulan remaja seawal tahun 1980-an.
Peredaran masa juga menyaksikan kelahiran beberapa lagi pusat beli-belah moden sehingga ada suara sumbang pada masa itu yang menyifatkan Ampang Park akan terkubur dengan pembangunan pesat ibu kota.
Biarlah kedudukannya hari ini diapit pusat beli-belah bertaraf antarabangsa, Ampang Park yang terletak di Jalan Ampang sebenarnya tidak pernah 'mati' malah menjadi lokasi paling strategik golongan berpendapatan pertengahan untuk membeli belah.
Paling menarik, kompleks beli-belah paling tua di ibukota itu tetap utuh dan terus menjadi saksi pembangunan Kuala Lumpur selama ini.
Usia sebenar Ampang Park yang menjangkau 42 tahun kini tidak menafikan langsung kehebatannya menarik pelanggan yang utuh kepercayaan terhadap setiap premis di dalamnya.
Katakan sahaja daripada keperluan harian sehingga pakaian suit bertaraf menteri, semuanya boleh didapati di sini.
Itu tidak termasuk pusat hiburan serta salon yang tidak putus-putus dikunjungi pelanggan saban hari sehingga larut malam pada setiap hari.
Ampang Park bakal dirobohkan tidak lama lagi untuk projek pembinaan stesen MRT - Gambar fail
Realitinya di sini, kebanyakan pelanggan adalah 'orang lama' yang sudah terlalu biasa dengan setiap pemilik-pemilik premis di Ampang Park.
Saya teruja melihat suasana 'mesra' pelanggan yang ditunjukkan kebanyakan pemilik premis di sini.
Melihat sendiri lebih setengah pemilik premis berbangsa Melayu, saya yakin majoriti daripada mereka sudah memulakan perniagaan di Ampang Park melebihi 35 tahun.
Kebanyakan daripada mereka juga mewarisi perniagaan daripada ahli keluarga sejak pusat perniagaan itu mula-mula dibuka dahulu.
Kompleks warisan keluarga Tan Sri Low Keng Seng itu sebenarnya mempunyai satu lagi 'kembar' di Singapura dan dinamakan People's Park.
Seiring kompleks warisan keluarga, kini ia menjadi salah sebuah pusat tumpuan keluarga, kebanyakannya daripada golongan pertengahan.
Tiada siapa boleh menafikan Ampang Park sebagai pusat membeli belah pertama di ibu kota.
Tidak ada seorang boleh mempertikaikan kehebatannya satu masa dahulu namun tetap teguh sehingga hari ini walaupun pelbagai pusat membeli belah dibina berhampiran.
Bangunan yang didiami 214 premis pelbagai kategori dan mempunyai 353 lot letak kereta itu mempunyai tarikan tersendiri kepada warga kota.
Antara rekod yang pernah dicatat oleh Ampang Park ialah pusat membeli belah pertama di negara ini selain membuat dodol terbesar pada tahun 2000.
Menggunakan slogan 'Di mana semua orang mengenali anda', Ampang Park disifatkan sebuah pasar raya berkonsep sebuah keluarga besar yang sangat rapat.
Percaya atau tidak, kebanyakan pemilik kedai di sini mempunyai pelanggan mereka yang sudah dikenali sejak bertahun-tahun.
Saya pasti layanan mereka bersifat peribadi dan istimewa untuk setiap individu.
Saya tahu setiap pemilik premis kenal muka yang biasa di Ampang Park. Saya anggap warga kompleks ini sudah seperti sebuah keluarga besar yang faham memahami sejak sekian lama.
Namun apabila mengetahui ia bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Stesen Mass Rapid Transit (MRT) Ampang Park iaitu stesen bawah tanah, saya rasa ia seolah-olah 'menceraikan' keluarga besar Ampang Park selama ini.
Benar, walaupun alasan stesen terbabit akan berintergrasi secara fizikal dengan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park sedia ada bagi membolehkan penumpang perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) bertukar ke perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dan sebaliknya di stesen itu, ia sebenarnya merampas seluruh kenangan rakyat negara ini terhadap kompleks itu sendiri.
Katalah apa sahaja alasan untuk 'menghalalkan' pengambilan tanah oleh kerajaan mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 sehingga bangunan yang berada di atas tanah itu perlu diroboh untuk pembinaan stesen MRT.
Jauh di sudut hati rakyat, bayangan Ampang Park tetap bersemadi di lokasi itu walaupun ia bakal tinggal sejarah tidak lama lagi.
Difahamkan, kerja pembinaan stesen MRT ini dijangka bermula pada suku kedua tahun 2016 dan akan beroperasi dalam suku kedua 2022.
Saya tersenyum seorang diri dengan keyakinan sebelum ini Ampang Park yang boleh 'hidup' walau 1,000 tahun lagi hanya tinggal mimpi.
Jangan hendak temberang. Orang lama ibukota jangan hendak tukar sejarah. Terimalah kenyatannya.
Ini lokasi memori warga Kuala Lumpur untuk membeli belah, berjalan-jalan, beriadah, tempat lepak untuk remaja serta lokasi 'dating' paling menarik satu ketika dahulu.
Selamat tinggal Ampang Park ... kenangan manis kita akan berakhir tidak lama lagi.