Persekolahan norma baharu: Ibu bapa lega SOP ketat, anak selamat di sekolah
Fareez Azman
Mac 1, 2021 09:43 MYT
Mac 1, 2021 09:43 MYT
KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan bagi tahun 2021 membuka tirainya pada Isnin apabila murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua dibenarkan ke sekolah bermula hari ini.
Tinjauan Astro AWANI di Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan 1 dan 2 di ibu negara mendapati, rata-rata ibu bapa sangat teruja melihat anak mereka memulakan proses pembelajaran secara bersemuka.
Bagi Siti Salbiah Zakaria, 42 tahun, meskipun ketika pandemik COVID-19 melanda negara, namun prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan keyakinan akan keselamatan anak mereka.
"Semua senang, tiada masalah, memang dia (anak) semangat hendak pergi sekolah. Saya memang sudah bersedia dari awal.
"Selalu pesan kepada anak agar jaga diri, kebersihan diri, jangan dekat dengan kawan-kawan. Alhamdulillah, semuanya nampak baik dan rasa selamatlah," katanya.
Turut berkongsi rasa yang sama, ibu kepada murid Tahun Satu, Sazlin Salehudin, 39 tahun, yang berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan setiap guru dalam norma baharu.
Malah keterujaan anaknya sejak semalam, memberikan satu keyakinan bahawa keselamatan murid menjadi keutamaan setiap guru di sekolah.
"Dia (anak) memang teruja. Mungkin sebab lepas sekolah tadika cuti empat bulan, jadi dia sentiasa tanya bila nak buka sekolah.
"Saya rasa yakin. Memang bagus cikgu sekolah buat penjarakan fizikal dan ikut semua SOP.
"Ibu bapa memang tidak boleh masuk ke sekolah, memang rasa selamat. Tetapi saya selalu pesan pada anak saya, sentiasa cuci tangan, jaga jarak dan dengar cakap cikgu," katanya ketika ditemu bual Astro Awani.
Pemerhatian juga mendapati, seawal jam 6.50 pagi sudah ada ibu bapa yang tiba di pintu pagar sekolah untuk menemani anak mereka pada hari pertama persekolahan.
Setiap murid yang tiba di sekolah, perlu mengambil suhu badan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
Murid kemudiannya dibawa oleh guru ke bilik darjah masing-masing sebelum sesi persekolahan bermula.
Ibu bapa bagi murid Tahun Satu dan Dua pula tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah, manakala ibu bapa murid prasekolah dibenarkan mengiringi anak ke bilik darjah.
Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan hari pertama sekolah, beberapa anggota polis turut ditempatkan bagi memantau SOP di pagar sekolah tersebut.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini mengumumkan kebenaran sesi persekolahan bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah seluruh negara mulai 1 Mac 2021 selepas penutupan sekolah pada 9 November tahun lalu.
Bagi murid Tahun Tiga hingga Enam pula akan memulakan sesi persekolahan pada 8 Mac depan.
Manakala sekolah menengah akan bermula pada 4 April bagi negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Bagi negeri-negeri lain, sesi persekolahan akan bermula 5 April.
#PDRM
#SOP
#KKM
#Polis Diraja Malaysia
#Majlis Keselamatan Negara
#Kementerian Pendidikan
#COVID-19
#pelitup muka
#Kementerian Kesihatan
#sekolah
#Pra sekolah
#Tahun 1 dan 2
#KPM
#murid
#pengajaran dan pembelajaran