Persekitaran produksi sistem MyInvois dibuka mulai hari ini - LHDN

Bernama
Mei 24, 2024 12:34 MYT
LHDN memaklumkan ia menunjukkan kemajuan terkini ke arah pelaksanaan mandatori e-Invois yang akan bermula pada 1 Ogos depan.
PUTRAJAYA: Persekitaran produksi Sistem MyInvois menerusi Application Programming Interface (API) telah dibuka bagi membolehkan syarikat rintis e-Invois mengeluarkan e-Invois menggunakan data sebenar perniagaan mereka mulai hari ini.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan memaklumkan ia menunjukkan kemajuan terkini ke arah pelaksanaan mandatori e-Invois yang akan bermula pada 1 Ogos depan.
"Oleh itu, syarikat rintis e-Invois boleh mula mengakses kepada persekitaran produksi API Sistem MyInvois setelah memohon Client ID dan Client Secret bagi persekitaran produksi daripada pihak LHDN menerusi e-mel sdkmyinvois@hasil.gov.my," menurut kenyataan itu.
LHDN memaklumkan akses kepada persekitaran produksi itu antara lain membolehkan syarikat rintis untuk mengurus dan mengeluarkan e-Invois secara terus kepada LHDN menggunakan data produksi (data sebenar perniagaan) untuk memastikan ketepatan maklumat yang dihantar.
Bagi memastikan proses peralihan lancar ke atas penghantaran e-Invois menerusi persekitaran API, LHDN memaklumkan proses pengesahan tandatangan digital juga tidak diaktifkan buat sementara waktu.
Sebelum ini dilaporkan pelaksanaan fasa pertama e-Invois pada 1 Ogos, terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta.
-- BERNAMA
#LHDN #myinvois #e-invois #digital