Persekitaran kondusif di rumah tingkat prestasi

Bernama
Oktober 22, 2012 10:08 MYT
Ibu bapa mempunyai peranan memberi bimbingan, galakan serta menyediakan persekitaran kondusif di rumah bagi meningkatkan prestasi pembelajaran anak-anak, kata Datin Seri Rosmah Mansor hari ini.
Isteri Perdana Menteri itu berkata berdasarkan Laporan Plowden, sikap ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak semasa di rumah mempunyai kaitan dengan tahap pencapaian mereka di sekolah.
"Berilah sokongan kepada anak-anak dan anggaplah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini sebagai satu cabaran yang perlu didukung bersama anak-anak," katanya.
Beliau merasmikan Seminar Teknik Menghadapi SPM 2012-1Malaysia A+ yang disertai kira-kira 2,000 pelajar serta majlis penyampaian Dana Ibunda Pendidikan Negara anjuran bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Universiti Putra Malaysia di Serdang.
Pada masa sama Rosmah turut menyeru pelajar supaya membudayakan pendidikan dalam kehidupan seharian dan tidak menelaah pelajaran hanya untuk menghadapi peperiksaan.
Katanya selain persediaan dari segi akademik, persediaan mental dan fizikal juga memainkan peranan penting.
Beliau berkata kajian menunjukkan pelajar yang mempunyai perasaan bimbang terhadap sesuatu ujian akan mengalami gangguan emosi dan psikologi yang akan menjejaskan prestasi mereka sewaktu menghadapi peperiksaan.
"Perasaan gementar dan gemuruh bagi menghadapi peperiksaan boleh dikurangkan dengan persiapan yang rapi dari segi ulang kaji mata pelajaran serta dari aspek rohani dan jasmani.
"Elakkan mengulang kaji dengan terlalu banyak pada saat-saat terakhir dan pastikan makan, minum dan tidur dijaga dengan baik," katanya.
Sementara itu, Rosmah berkata sebanyak 100 penuntut semester pertama/tahun pertama di institusi pengajian tinggi tempatan di seluruh negara terpilih menerima Dana Ibunda Pendidikan Negara berjumlah RM100,000 dengan masing-masing menerima RM1,000, hasil usaha sama YPM dan GPMS.
Mereka adalah dari keluarga berpendapatan kurang dari RM1,500 serta mempunyai bilangan tanggungan yang ramai.
"Saya berharap usaha ini diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan pelajar kurang berkemampuan tidak menjadikan beban kewangan sebagai alasan atau batu penghalang untuk mencapai kecemerlangan pendidikan," katanya.
#Rosmah Mansor #Sijil Pelajaran Malaysia #SPM
;