Persediaan mental menjelang persaraan
Dr Firdaus Abdul Gani
Mei 1, 2021 12:40 MYT
Mei 1, 2021 12:40 MYT
PERSARAAN merupakan satu fasa kehidupan penting yang dialami oleh seseorang individu berkerjaya.
Ia merupakan salah satu detik perubahan yang ketara dalam hidup di mana berlakunya kehilangan dalam pelbagai bentuk termasuk pendapatan, aktiviti, identiti diri dan rakan-rakan sekerja.
Kesemua perkara ini sebelumnya bertindak sebagai sumber sokongan ke atas seseorang individu.
Kehilangan yang berlaku boleh mendatangkan impak psikologi sekiranya mereka tidak bersedia dengan baik dalam menghadapi perubahan.
Ini kerana, adakalanya persaraan boleh menjadi bebanan kepada diri seseorang.
Oleh itu, persiapan menghadapi persaraan ini adalah amat dinasihatkan.
Mengapakah persaraan merupakan satu fasa kehidupan yang agak unik?
Ketika bersara, secara umumnya seseorang itu telah pun berusia di antara 55 sehingga 60 tahun.
Perlu dijelaskan bahawa apabila sesorang itu mula memasuki usia warga emas, terdapat beberapa perubahan yang dialami dari aspek fizikal dan pemikiran secara umumnya iaitu:
1) Dari aspek fizikal
Semakin berkurangan produktiviti disebabkan oleh berlakunya perubahan fizikal yang ketara di samping daya ingatan, pendengaran, penglihatan dan ketajaman pemikiran menjadi semakin lemah.
2) Dari aspek pemikiran
Ini merupakan waktu untuk merenung semula segala pencapaian diri (refleksi diri) dan seterusnya membentuk integriti diri.
Sekiranya seseorang itu melihat dirinya sebagai seorang yang berjaya dalam hidup, sama ada dalam kerjaya mahupun kehidupan berkeluarga, beliau akan berasa gembira dan puas hati terhadap pencapaiannya.
Tetapi, jika seseorang individu melihat dirinya sebagai seorang yang tidak produktif, maka beliau akan berasa bersalah dan tidak berpuas hati kerana tidak mencapai matlamat hidupnya.
Perasaan ini adakalanya boleh membawa kepada kemurungan.
Menurut pakar psikologi, Erik Erikson, fasa ini dikenali sebagai fasa 'Integrity Versus despair' dalam teori pembentukan psikososial.
Perlu diingatkan bahawa pada usia ini juga terdapat perbagai isu dan cabaran lain yang dihadapi dalam kehidupan seperti isu kesihatan yang semakin merosot, kewangan, kesunyian kerana anak-anak yang tidak lagi sebumbung serta kematian pasangan atau teman-teman rapat.
Ini menyebabkan mereka lebih mudah mendapat impak psikologi seperti keresahan dan kemurungan.
Setiap individu menghadapi persaraan dengan cara dan impak yang berlainan bergantung kepada persediaan mental, perancangan, personaliti, persekitaran serta sumber yang ada.
Menariknya, persaraan memberi tahap kepuasan serta impak yang berbeza kepada pasangan suami dan isteri terutama jika pasangan ini bersara pada jangka waktu yang berbeza.
Terdapat satu kajian oleh Dr Moen and Jungmeen Kim pada tahun 1999 yang mendapati bahawa:
1) Wanita yang baru bersara lebih cenderung untuk mengalami kemurungan berbanding wanita yang telah atau belum bersara, terutamanya jika suami mereka masih bekerja.
2) Lelaki yang baru bersara lebih cenderung untuk mengalami konflik perkahwinan berbanding lelaki yang belum bersara, terutamanya jika mempunyai isteri yang masih bekerja.
3) Lelaki yang bersara dan kemudianya bekerja semula lebih bersemangat dan berkeyakinan berbanding jika kedua-dua pasangan suami isteri yang tidak bekerja.
Untuk menghadapi persaraan dengan baik, seseorang itu disarankan untuk melihat persaraan sebagai suatu perubahan kerjaya daripada meletakkanya sebagai sebuah penghujung atau titik noktah.
Terdapat satu kajian oleh pakar psikologi dari Amerika Syarikat, Profesor Norman Abeles yang mendapati bahawa mereka yang kekal aktif selepas bersara dengan pelbagai bentuk aktiviti seperti kerja-kerja berpersatuan, kebajikan, meneruskan pengajian dan sebagainya merupakan mereka yang gembira dengan kehidupan selepas persaraan.
Saranan untuk persiapan sebelum bersara
Sebelum anda bersara, terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan bagi menghadapi persaraan dengan lebih baik.
Semua ini penting bagi memastikan tidak berlaku penyesalan atau perasaan terkilan terutamanya jika anda berhasrat untuk bersara lebih awal dari yang sepatutnya.
1. Pastikan anda benar-benar telah bersedia untuk berhenti dari melakukan pekerjaan sekarang. Nilai sama ada anda telah berpuas hati dengan sumbangan anda terhadap organisasi dan selesaikan sebarang isu di tempat kerja.
2. Tentukan ekspektasi anda apabila bersara kelak. Fokus kepada perkara yang akan membahagiakan anda dalam menjalani kehidupan bersara.
3. Pastikan anda telah membuat persiapan yang lengkap atau sewajarnya untuk meniti usia tua. Ini termasuk dari aspek kewangan, pelan kesihatan serta aktiviti yang ingin dilaksanakan.
4. Rancang program dan aktiviti untuk memaksimum dan mengekalkan fungsi-fungsi kognitif bagi mengelakkan nyanyuk dan mengekalkan kesihatan optimum.
5. Pastikan anda tahu tentang hak-hak atau kemudahan yang boleh diperoleh selaku warga pencen.
Apakah saranan untuk mental yang sihat selepas bersara?
1) Terus menyumbang serta melabur masa dengan aktiviti untuk membangunkan generasi muda dari segi idea, pandangan dan nilai-nilai kehidupan.
2) Penglibatan dalam aktiviti sukarelawan boleh meningkatkan tahap kesejahteraan minda, kepuasan hidup, mengurangkan kadar gejala kemurungan dan tekanan.
3) Tingkatkan aspek-aspek spiritual.
4) Berbangga dengan pencapaian dan sumbangan diri terhadap organisasi serta masyarakat. Tinggalkan legasi personal atau profesional, sama ada di tempat kerja atau dalam kehidupan seharian.
5) Terima dan fahami perubahan-perubahan yang berlaku pada diri sebagai satu kitaran hidup yang normal.
6) Pelajari kaedah-kaedah untuk menangani stres dengan berkesan dan jaga kesihatan anda dengan baik. Aktiviti fizikal dan senaman juga dapat membantu.
7) Pergi bercuti dan luangkan masa bersama insan tersayang.
8) Cari hobi untuk mengisi masa lapang.
9) Terus kekalkan aktiviti sosial serta hubungan bersama rakan-rakan.
10) Berikan penghargaan kepada diri anda atas segala penat lelah selama ini.
Kesimpulannya, persediaan persaraan perlu dilakukan pada peringkat awal bagi memudahkan perancangan dibuat serta mengelakkan berlakunya impak psikologi selepas bersara.
Perancangan tersebut perlu menyeluruh dan meliputi aspek persediaan mental, kesihatan, kewangan, spiritual, hobi serta aktiviti-aktiviti lain yang membantu dalam kesejahteraan minda.
* Penulis adalah Pakar Perunding Psikiatri Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#warga emas
#integriti
#perkahwinan
#pencen
#konflik
#psikologi
#impak psikologi
#Erik Erikson
#psikososial
#Kemurungan
#keresahan
#Moen
#Jungmeen Kim