Persediaan banjir Kelantan: Pusat koordinasi dibuka di Kota Darul Naim

Bernama
Oktober 3, 2021 04:27 MYT
Datuk Shafien Mamat berkata, semua agensi yang terlibat telah bersiap sedia bagi menghadapi gelombang banjir di Kelantan. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan bersetuju untuk membuka sebuah pusat koordinasi di Kota Darul Naim di sini, bagi menyelaraskan segala maklumat berkaitan banjir yang dijangka melanda negeri itu tidak lama lagi.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata ini bagi memudahkan urusan sepanjang bencana tersebut selain memastikan data yang dikeluarkan selari dan tidak bercanggah.
Beliau berkata semua agensi yang terlibat juga telah bersiap sedia bagi menghadapi gelombang banjir itu.
"Pada peringkat awal kita juga sudah bersedia dengan kekuatan seramai 3,500 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.
Mengulas lanjut, Shafien berkata ekoran negeri ini masih berada dalam pandemik COVID-19, segala persediaan perlu dilakukan dengan teliti bagi menghadapi 'bencana dalam bencana' itu.
"Insya-Allah kita kini dalam peringkat latihan dan ia amat penting khususnya kepada pegawai dan anggota yang baru bertugas di Kelantan.
"Ada sesetengah pegawai dan anggota mungkin tidak pernah melalui keadaan seperti ini dan ini adalah pendedahan kepada mereka," katanya.
-- BERNAMA
#pusat koordinasi #Shafien Mamat #Kota Darul Naim #banjir kelantan
;