Persediaan banjir: Cuti 14,000 anggota, pegawai bomba dibekukan
Bernama
November 9, 2022 05:00 MYT
November 9, 2022 05:00 MYT
KUALA SELANGOR: KUALA SELANGOR, 9 Nov (Bernama) -- Cuti bagi 14,000 anggota dan pegawai bomba termasuk Pasukan Bomba Bantuan di seluruh negara dibekukan sebagai langkah siap siaga menghadapi kemungkinan bencana banjir sepanjang tempoh monsun timur laut.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya turut melaksanakan rombakan jadual penugasan dengan memanjangkan waktu bertugas anggota daripada 12 jam ke 24 jam selain beberapa tempat diagihkan aset lebih awal.
"Saya akan memperoleh laporan masa sebenar bagi sebarang kecemasan. Kesiapsiagaan bomba juga telah dimulakan lebih awal dan kita meneliti kebarangkalian dari semua aspek," katanya kepada pemberita selepas program Kenduri Rakyat, yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini semalam.
Beliau berkata kesiapsiagaan pasukan bomba turut diperkuat dengan sokongan Pasukan Bomba Sukarela di seluruh negara yang menjadikan kekuatan pasukan berkenaan secara keseluruhan seramai 29,000 anggota.
Dari segi persediaan jentera pula, Reezal Merican berkata pihaknya telah mendapat perolehan darurat antaranya bot penyelamat pada banjir musim lepas.
Menurutnya Pangkalan Hadapan Wilayah (RFB) yang berfungsi sebagai kawasan penempatan anggota dan logistik juga telah diwujudkan mengikut tiga pecahan iaitu wilayah timur (Terengganu, Kelantan dan Pahang); wilayah utara (Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis) dan wilayah selatan (Johor, Negeri Sembilan dan Melaka).
"Penempatan RFB di ketiga-tiga wilayah ini ialah di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu bagi wilayah timur; Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda, Pulau Pinang (wilayah utara) dan BBP Ayer Hitam, Johor (wilayah selatan) yang akan membantu bomba menggerakkan bantuan lebih teratur dan pantas.
"Bagi wilayah tengah melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kekuatan anggota serta logistik pasukan bomba negeri telah bersedia pada tahap optimum dan pada masa sama bantuan RFB lain juga akan digerakkan sekiranya diperlukan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Reezal Merican yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata pemilihan Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan sebagai calon Parlimen Kuala Selangor memberikan satu tenaga dan 'vibration' baharu dalam kalangan rakyat di kawasan itu.
"Saya dapat lihat bahawa sambutan (penduduk kepada Tengku Zafrul) amat baik. Mudah-mudahan kehadiran Tengku Zafrul dapat merubah wajah Kuala Selangor dan rakyat di sini mendapat limpahan daripada pembangunan dan pembelaan," katanya.
-- BERNAMA