Persatuan tawar perkhidmatan teksi percuma untuk ibu mengandung bermula tahun depan

Bernama
Disember 22, 2015 19:27 MYT
Ia sebagai sebahagian daripada khidmat sosial persatuan itu kepada masyarakat dalam menyediakan bantuan pengangkutan, khususnya kepada ibu mengandung. - Gambar Fail
Persatuan Pemandu Teksi Makkal Communication Kuala Lumpur akan menyediakan perkhidmatan teksi percuma 24 jam kepada ibu mengandung di sekitar ibu negara bermula 2 Jan depan.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk P. Gunaseelan berkata perkhidmatan itu sebagai sebahagian daripada khidmat sosial persatuan itu kepada masyarakat dalam menyediakan bantuan pengangkutan, khususnya kepada ibu mengandung yang hampir melahirkan anak, terutama pada lewat malam.
Ke arah itu, beliau berkata persatuan berkenaan menyediakan 50 buah teksi bertujuan membawa golongan berkenaan ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang.
"Ini projek pertama seumpamanya di Malaysia. Mereka (Makkal Communication) akan sediakan khidmat teksi percuma kepada ibu mengandung ini sepanjang masa. Saya juga alu-alukan persatuan lain untuk ikut langkah ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan teksi percuma itu di sini, hari ini.
Sementara itu, pemandu teksi S. Vijayapriya memberitahu bahawa aplikasi Whatsapp akan diguna pakai bagi menambah baik komunikasi antara pemandu teksi serta penumpang.
"Aplikasi itu (Whatsapp) akan memudahkan penumpang berkomunikasi dengan pemandu teksi. Kesemua 50 pemandu teksi bagi perkhidmatan percuma itu akan menggunakan Whatsapp, justeru amat bermanfaat bagi golongan wanita," katanya.
Antara nombor 50 pemandu teksi yang boleh dihubungi pengguna adalah Suriyamurthy (016-3029297), K.Kumar (010-2449577), P.Palaniandy (016-2129439), T.Rajendran (014-7178135), T.Rajan (013-3707417) dan Sharma (017-6705347).
#mengandung #P. Gunaseelan #teksi #Teksi Makkal Communication
;