Persatuan sukan: Tiada anggota Kabinet, buka ruang individu sepenuh masa
Bernama
Ogos 28, 2024 22:57 MYT
Ogos 28, 2024 22:57 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan Kabinet untuk tidak membenarkan menteri atau timbalan menteri bertanding atau memegang jawatan dalam persatuan sukan membuka lebih ruang kepada individu yang dapat memberikan sepenuh tumpuan dan komitmen.
Menyambut baik keputusan itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berpandangan ia juga akan memberikan peluang kepada pihak berkepentingan dalam persatuan sukan memilih sendiri individu yang sesuai berdasarkan penelitian mereka.
"Kita tak boleh mengatakan siapa yang layak atau tidak (untuk menerajui persatuan sukan). Tetapi ahli gabungan itu yang boleh menentukan (individu yang sewajarnya).
"Pemegang taruh individu atau persatuan yang memahami dari segi struktur dan boleh mengenali, tahu siapa yang boleh memimpin persatuan. Jadi keputusan hari ini, bagus kerana beri lebih peluang," katanya semasa dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, penganalisis sukan Datuk Dr Pekan Ramli berkata keputusan itu secara tidak langsung dapat mengelakkan berlakunya konflik kepentingan dari segi politik.
Menyifatkan isu lantikan ahli politik dalam bidang sukan bukan perkara baharu, Pekan berkata mereka yang berminat mengetuai persatuan atau kumpulan sukan seharusnya benar-benar mempunyai minat dalam sukan yang mahu diterajui.
"Bagaimanapun, tidak adil jika mengatakan orang politik tidak boleh menggunakan dua topi (jawatan). Pada saya paling penting dia pandai menggunakan topi, sama ada sebagai pemimpin persatuan sukan atau menteri," katanya.
Selain itu katanya langkah tersebut juga membolehkan persatuan mencari individu yang benar-benar mempunyai minat mendalam terhadap bidang sukan dan mempunyai ketokohan yang boleh menarik lebih banyak penyertaan dalam sukan terlibat.
Pekan, bagaimanapun mengakui lantikan individu berjawatan termasuk menteri membawa faedah tersendiri kepada persatuan sukan kerana mereka mempunyai kedudukan dan kelebihan yang boleh dimanfaatkan seperti mencari penaja.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada sidang media hari ini, mengumumkan bahawa mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan tidak membenarkan menteri atau timbalan menteri untuk bertanding atau memegang jawatan presiden mana-mana persatuan sukan.
Susulan itu, Fahmi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad yang masing-masing sebelum ini menyatakan hasrat bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mengumumkan untuk menarik diri.
-- BERNAMA