Persatuan Polis gesa permohonan maaf terbuka Azmin Ali kepada PDRM
Astro Awani
Mei 6, 2015 17:15 MYT
Mei 6, 2015 17:15 MYT
Persatuan Pegawai Kanan Polis dan Persatuan Pegawai Rendah Polis mendesak Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Ini berikutan tindakan Azmin yang menggelar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai bacul dan pencacai dalam satu ceramah di Permatang Pauh baru-baru ini.
Pengerusinya, DCP Datuk Shah Gzali Shahadad berkata Azmin telah menggelar Khalid dengan panggilan ‘Barua UMNO’ yang mana barua mengikut interpretasi Kamus Dewan adalah orang perantaraan yang digunakan untuk mengerjakan sesuatu pekerjaan jahat atau satu kata makian.
“Seluruh warga PDRM amat terguris dan mengecam keras kenyataan Menteri Besar Selangor itu. Mencaci dan menyelar Ketua Polis Negara bererti mencaci dan menyelar seluruh insititusi PDRM yang menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat, tanpa berkiblatkan faham politik, bangsa atau agama.
“Kami mendesak agar Azmin mengemukakan permohonan maaf secara terbuka terhadap penghinaan ke atas PDRM,” kata Shah Gzali dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, PDRM tidak pernah mencampuri urusan politik dan tidak sesekali berkiblatkan mana-mana parti politik.
“Sebagai sebuah institusi kepolisan, tanggungjawab kami adalam menjaga kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara agar tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Seluruh warga PDRM berharap agar Azmin lebih berhemah, bersopan dan bersusila dalam menyampaikan ceramah politik kerana bahasa melambangkan bangsa,” katanya.
Pada Rabu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee turut menyifatkan kenyataan Azmin itu sebagai terlalu biadab.
Tegasnya, PKR kini semakin terdesak sehingga membuat tuduhan kurang siuman terhadap pihak polis dan Ketua Polis Negara.