Persatuan perubatan bantah sistem syif baharu KKM, mahu jumpa PM

Bernama
Jun 17, 2020 04:40 MYT
Persatuan berkaitan perubatan membantah sekeras-kerasnya pelaksanaan sistem syif baharu di klinik kerajaan KKM dan meminta Perdana Menteri campur tangan. -Gambar fail
Persatuan berkaitan perubatan membantah sekeras-kerasnya pelaksanaan sistem syif baharu di klinik kerajaan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan bagi menyelesaikan isu itu.
Dalam kenyataan bersama pada Rabu, persatuan terbabit berkata keputusan melibatkan petugas perlu diberi perhatian yang serius kerana mereka merupakan tonggak dan penyumbang utama ke arah kejayaan perancangan organisasi.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam, Persatuan Farmasi Malaysia, Persatuan Jururawat Malaysia, Kesatuan Jururawat Malaysia dan Kesatuan Pemandu-Pemandu Kementerian Kesihatan Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, tinjauan dalam talian mengenai perkara tersebut oleh MMA dari 22 hingga 28 Mei lepas menunjukkan 92 peratus daripada 9,320 responden membantah pelaksanaan sistem berkenaan.
Menurut kenyataan itu, sistem tersebut dibantah atas faktor kekurangan tenaga kerja serta infrastruktur yang memerlukan penilaian dan penyelidikan terperinci bagi memastikan pelaksanaan yang lancar.
-- BERNAMA
#bantah #KKM #Perdana Menteri #persatuan perubatan #sistem syif #Tan Sri Muhyiddin Yassin
;