Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor diberi tempoh betulkan perlembagaan - Muhyiddin

Firdaus Azil
September 4, 2019 17:53 MYT
Muhyiddin berkata, perkara itu diputuskan ekoran rayuan yang mereka hantar secara rasmi kepadanya hari ini. - Gambar fail
Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor telah diberi tempoh yang bersesuaian untuk meminda beberapa perkara berkaitan perlembagaan mereka, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan ekoran rayuan yang mereka hantar secara rasmi kepadanya hari ini, susulan surat pembatalan yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran (RoS) pada 8 September lepas.
Bagaimanapun beliau, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, enggan mengulas lanjut mengenai sebab utama RoS Johor mengeluarkan surat pembatalan berkenaan, sebaliknya menegaskan apa yang penting adalah untuk melihat bagaimana perkara itu boleh diselesaikan.
“Sebab itu mereka datang kemukakan rayuan, (kerana) apabila pertubuhan terbatal, mereka boleh kemukakan rayuan kepada menteri untuk batal kan dan dalam perbincangan tadi, mereka nyatakan latar belakang persatuan tubuh sejak 1955, lebih 60 tahun, tetapi disebabkan faktor teknikal dia terbatal.
“Jadi mereka boleh kemukakan rayuan rasmi hari ni, hantar kepada saya..dan RoS akan pertimbangkan. Ketua Pendaftar boleh panggil wakil persatuan tadi untuk dapatkan penjelasan, dan melihat perlembagaan sekiranya ada benda perlu dipinda, atau disesuaikan mengikut akta RoS,” katanya kepada pemberita selepas berakhirnya pertemuan dengan wakil persatuan berkenaan di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Ketua Pengarah RoS Masyati Abang Ibrahim, serta wakil Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang diketuai Ahli Jawatankuasa Pusatnya Low Chee Chong.
#Cina #Dong Zong Johor #Jabatan Pendaftaran #Malaysia #menteri #Menteri Dalam Negeri #Muhyiddin Yassin #Parlimen #Putrajaya #ros #sekolah
;