Persatuan pengguna sokong kempen Jom Bawa Bekal ke Sekolah
Azyyati Ahmad
Oktober 17, 2014 00:37 MYT
Oktober 17, 2014 00:37 MYT
Rata-rata persatuan pengguna menyambut baik kempen ‘Jom Bawa Bekal ke Sekolah’ sebagai inisiatif penjimatan kos, juga bagi menjamin kualiti makanan yang disajikan kepada para pelajar.
Kempen tersebut dilancar bagi menggalakkan pengamalan makanan sihat dan seimbang yang disediakan dari rumah selain bertujuan menjimatkan wang saku harian.
Menurut Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohd Rahimie Deraman, kempen ini bagus dalam usaha memastikan pelajar mendapat makanan yang berkhasiat.
“CAP sememangnya sudah lama menggalakkan ibu bapa membekalkan pelajar makanan ke sekolah bagi menjamin makanan yang berkualiti dan selamat.
Kempen ini juga dapat mengelakkan pelajar membeli makanan ringan yang tidak berkhasiat, makanan luar yang mengandungi kandungan gula dan garam yang tinggi dan pada masa sama dapat menggalakkan pelajar menabung wang saku harian mereka,” kata Rahimie.
Rahimie turut mencadangkan agar kempen ini turut dipraktikkan bersama oleh golongan pekerja kerana ianya memberikan kebaikan dalam jangka masa panjang.
“Kita sedia maklum bahawa bila bekerja setiap hari juga memerlukan kos tertentu, seperti kos petrol dan makanan. Terutama di bandar, sekali makan kita akan menghabiskan RM10 sehingga RM15. Amalan membawa bekal ini akan memberi banyak kebaikan terutama dalam jangka masa panjang. Dengan membawa bekal, kita mungkin dapat berjimat RM150 sehingga RM200 setiap bulan.
Namun, amalan membawa bekal akan memberi satu cabaran buat pekerja lelaki terutamanya kerana rasa malu membawa bekal dan lebih selesa makan di kedai dan bersembang” kata Rahimie lagi.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dato’ Dr Ma’amor Osman menyatakan amalan membawa bekal ke sekolah atau ke tempat kerja dapat memupuk kasih sayang di dalam keluarga.
“Sepatutnya ia diamalkan oleh semua orang kerana ia memberi banyak kebaikan dari segi penjimatan dan menjamin kualiti makanan.
Selain itu, bila isteri memasakkan untuk suami untuk dibawa bekal ke pejabat, ia secara langsung dapat memupuk kasih sayang dalam keluarga terutamanya” kata Dr Ma’amor yang turut mengakui bahawa beliau dan keluarga sudah lama mengamalkan amalan membawa bekal ke sekolah dan ke tempat kerja.
Dr Ma’amor berkata adalah penting memastikan agar bekalan yang dibawa adalah makanan yang seimbang nutriennya.
“Selain makanan utama, saya juga ingin galakkan agar ramai yang membawa bekal buah-buahan serta yang paling penting adalah membawa bekal air kerana sering orang terlupa akan kepentingan buah-buahan dan air dalam memberi nutrien kepada badan,” tambah Dr Ma’amor.
Begitu juga dengan Persekutuan Pengguna-pengguna Malaysia (Fomca) yang turut menyatakan sokongan penuh kempen ‘Jom Bawa Bekal ke Sekolah’ ini.
“FOMCA menyokong penuh kempen ini kerana ia adalah satu cara dalam memastikan kualiti makanan para pelajar dan amat sesuai diamalkan dalam usaha menjimatkan kos perbelanjaan keluarga,” kata Setiausaha Agungnya, Dato’ Paul Selva Raj.
Ketiga-ketiga organisasi ini turut sependapat bahawa kempen ini tidak akan menjejaskan pendapatan pengusaha kantin atau peniaga kecil.
“Isu itu tidak timbul kerana kantin sendiri adalah satu inisiatif dari sekolah dalam memudahkan ibu bapa yang tiada masa membuat bekal untuk anak,” kata Rahimie.
Manakala, Dr Ma’amor menekankan bahawa perkara tersebut bukan satu isu besar.
“Yang penting adalah mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri. Kempen ini mungkin tidak disahut oleh semua, mungkin ada yang punya kekangan untuk membawa bekal atau mungkin ada yang tak tahu masak. Jadi, tidak ada isu kempen ini akan menjejaskan peniagaan pengusaha kantin atau peniaga kecil,” kata Dr Ma’amor.
Selva Raj turut menyatakan bahawa isu tersebut bukanlah sesuatu yang membimbangkan, apa yang perlu diutamakan adalah kesihatan.
“Tidak perlu difikirkan mengenai pendapatan pengusaha kantin atau peniaga kecil akan terjejas atau tidak, yang penting adalah mengutamakan kesihatan anak-anak. Apabila mereka makan makanan yang bersih, selamat dan seimbang, ini akan menyumbang kepada kesihatan yang baik,” kata Selva Raj.
Kempen ‘Jom Bawa Bekal ke Sekolah’ pertama kali dilancarkan oleh Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Ampang, Kuala Lumpur.
Ia kemudiannya turut disertai oleh beberapa sekolah lain dan yang terbaru di Sekolah Kebangsaan Sepri, Rembau.