Persatuan pelancongan tidak tahu peruntukan disediakan dalam Belanjawan 2021 - Nancy

Ridauddin Daud
November 17, 2020 16:59 MYT
Nancy berkata, tidak benar sekiranya ada pihak mendakwa belanjawan itu tidak membantu mereka yang terjejas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Persatuan pelancongan dikatakan tidak mengetahui sebanyak RM200 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 untuk membantu memulihkan sektor pelancongan di negara ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keadaan itu dipercayai menyebabkan beberapa persatuan meluahkan rasa tidak puas hati dengan pembentangan belanjawan berkenaan yang didakwa tidak begitu membantu mereka.
"Adalah tidak benar sekiranya ada pihak mendakwa Belanjawan 2021 tidak membantu mereka yang terjejas.
“Bagi kami, belanjawan ini amat banyak membantu sebab ia lebih daripada tahun-tahun lepas. Kalau dikira jumlahnya, lebih daripada tahun lepas terutama sekali bajet mengurus... jauh bezanya berbanding tahun lepas," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Menurutnya, maklumat berhubung peruntukan itu tidak sampai kepada mereka kerana ia tidak disebut secara jelas dalam belanjawan yang dibentangkan pada 6 November lepas.
“Kalau didengar pada hari itu, memang bunyinya macam tak membantu sangat untuk sektor pelancongan tapi sebenarnya apa yang tidak diumumkan menteri adalah satu jumlah peruntukan yang besar, khusus untuk pelancongan.
“Jumlah keseluruhan bantuan itu ialah RM200 juta. Sebab itu selepas pengumuman Belanjawan 2021, saya terus mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri.
“Kami menjelaskan apakah di antara bajet-bajet yang ada dan bagaimana kita akan menggunakannya. Saya jelaskan kepada mereka antara yang tidak diumumkan ialah RM200 juta itu,” katanya.
Sementara itu, Nancy berkata kementeriannya sedia mempercepatkan proses penyaluran peruntukan melalui pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini kepada pemain industri yang terjejas sejak beberapa bulan lepas.
Beliau berkata, kementerian itu mempunyai peruntukan namun disebabkan sektor pelancongan kini tergendala, ia tidak dapat disalurkan sebaiknya.
“Untuk strategi jangka masa pendek, kita nak tolong pemain industri untuk terus bertahan. Jadi apa yang kita lakukan adalah bantu mereka melalui pakej rangsangan.
#Nancy Shukri #pelancongan #sektor pelancongan #menteri #Belanjawan 2021 #Belanjawan #industri #percutian #melancong #bercuti #dalam negara #Menteri Pelancongan Seni dan Budaya #Seni #budaya
;