Persatuan bas sekolah tidak akan masuk campur harga tambang

Mariah Ahmad
Oktober 24, 2014 14:01 MYT
Kenaikan harga tambang bas tetap akan berlaku namun ia tetap bergantung kepada budi bicara pengusaha bas dan ibu bapa. - Gambar Fail
Amaran Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kepada pengendali-pengendali bas sekolah yang menaikkan harga tambang boleh dikenakan denda baru-baru ini mendapat reaksi daripada pelbagai persatuan bas sekolah di Malaysia.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) Mohd Rofik Mohd Yusof berkata persatuannya tidak akan masuk campur lagi harga tambang bas dan tidak akan mengumumkan kenaikan secara kumpulan selepas ini.
Beliau berkata kenaikan harga tambang bas tetap akan berlaku namun ia tetap bergantung kepada budi bicara pengusaha bas dan ibu bapa.
“Saya sudah pun mendapat amaran daripada MyCC berhubung meminta kenaikan harga tambang bas sebanyak 30 peratus mulai tahun depan itu.
“Sebenarnya permintaan kenaikan harga tambang bas sekolah itu bermula sejak dari tahun lepas lagi memandangkan tiada kenaikan sejak tahun 2009. Namun kerajaan asyik menangguhkan dan akhirnya membuat keputusan untuk memansuhkan harga siling bagi tambang bas sekolah,” tambah beliau ketika dihubungi Astro Awani.
Sementara itu Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) Amali Manif berkata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) patut lebih mengambil berat tentang perkara ini.
Beliau berkata sikap SPAD yang memberi kuasa 'rundingan' kepada ibu bapa dan pengusaha bas bagaikan lepas tangan.
“Sikap yang dianggap seperti lepas tangan ini seperti mengelak kemarahan orang ramai mengenai kenaikan harga tambang bas sekolah.
“Memandangkan ketika ini tiada badan yang memantau, harga tambang asas bermula daripada berapa pun tidak diketahui,” tambah beliau.
Beliau berkata jika mahu harga tambang bas sekolah dikurangkan, kerajaan patut mengadakan insentif seperti mengurangkan harga diesel untuk mengurangkan kos operasi bas sekolah.
Baru-baru ini MyCC memberi amaran kepada pengendali-pengendali bas sekolah yang menaikkan harga tambang boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan dari kenaikan harga tambang di bawah Akta Persaingan 2010.
#Amali Manif #bas sekolah #GPSM #harga tambang #Mohd Rofik Mohd Yusof #MyCC #PPBSM #SPAD