Persatuan Alumni Sekolah Alam Shah adakan solat hajat
Harris Hardy Hakim
Mac 9, 2014 21:22 MYT
Mac 9, 2014 21:22 MYT
Persatuan Alumni Sekolah Alam Shah (ASAS) menganjurkan solat hajat bagi mendoakan keselamatan semua penumpang dan anak kapal pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.
Mereka antara lain mengharapkan rakan alumni, Mohd Sofuan Ibrahim bersama dua lagi ahli keluarga alumni Fariq Abdul Hamid dan Nor Fadilah Rahim selamat pulang kepangkuan keluarga masing-masing.
Presiden ASAS, Prof. Datuk Dr. Zainuddin Wazir berkata solat hajat turut diadakan bagi mendoakan segala urusan mencari dan menyelamat berjalan lancar dan dipermudahkan.
"Pihak alumni rasa terpanggil sebab ada ahli kita yang terlibat dan juga keluarga ahli kita terlibat. Mereka ada dalam pesawat tersebut jadi kita merasakan di waktu-waktu begini kita harus bersama. Walaupun tidak secara fizikal tapi kita bersama-sama mendoakan yang terbaik kepada semua yang berada dalam pesawat tersebut." katanya ketika ditemui selepas selesai solat hajat di surau Sekolah Alam Shah di sini hari ini.
Solat hajat dihadiri lebih 100 alumni dan pelajar sekolah berkenaan.
Antara yang hadir ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong dan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail.
Zainuddin pada masa sama berharap semua rakyat terutamanya keluarga penumpang dapat bersabar menghadapi ujian getir ini.
"Semua yang terjadi adalah atas kehendak Allah SWT. Saya rasa dalam suasana begini kita kena meminta dan berdoa kepada Allah SWT. Jadi kesabaran itu sangat perlu kerana ini merupakan dugaan kepada kita dan pasti ada hikmahnya."
Sementara itu beberapa rakan karib Mohd Sofuan ketika ditemui berkata mereka masih terkejut dan sukar menerima berita kehilangan sahabat mereka itu.
Zain Nassri Abdul Aziz berkata beliau akan cuba membantu memberikan sokongan kepada keluarga Mohd Sofuan.
"Sebagai seorang bekas teman belajarnya, kami secara berjemaah sentiasa mendoakan dan membuat sembahyang hajat agar Mohd Sofuan selamat. Kita juga ada berhubung dengan keluarganya bagi menyatakan simpati kami dan sedia membantu bila diperlukan."
"Kami mendoakan semoga semuanya berjalan lancar. Salam takziah untuk keluarga Mohd Sofuan dan kami di kelas SAS 98 mengharapkan beliau akan kembali dengan selamat, Insyaallah." ujar Raja Nurul Hasif Raja Nazri.
Mohd Sofuan, seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang ditempatkan di pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Beijing pernah belajar di SAS pada tahun 1994 hingga 1998.
Manakala adik kepada Pembantu Juruterbang MH370, Fariq Abdul Hamid, Afiq Abdul Hamid juga merupakan ahli alumni SAS.
Seorang lagi alumni SAS, Azrai Izet mengesahkan isterinya Nor Fadzilah Rahim turut berada dalam pesawat berkenaan.