Persaingan kumpulan mafia mungkin hanya alasan, motif sebenar lelaki Israel masih disiasat

Firdaus Azil
April 2, 2024 15:30 MYT
Razarudin berkata, keutamaan PDRM ketika ini adalah menentukan motif sebenar lelaki berkenaan, selain memburu lebih dari dua lagi individu lain untuk membantu siasatan.
KUALA LUMPUR: Alasan warga Israel yang ditahan, Avitan Shalom, bahawa dia masuk ke Malaysia untuk memburu 'Eran Haya’, kononnya disebabkan persaingan keluarga mafia, mungkin sekadar dicipta bagi mengalihkan tumpuan siasatan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, keutamaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini adalah menentukan motif sebenar lelaki berkenaan, selain memburu lebih dari dua lagi individu lain untuk membantu siasatan.
Dalam satu sidang media khas pada Selasa, beliau secara peribadi berkata, alasan untuk mencari hanya seorang individu dengan enam pucuk pistol pelbagai jenis adalah sesuatu yang menimbulkan kesangsian.
“Beban utama kita nombor satu nak tahu motif. Ini perlu atas keselamatan negara, dan ketenteraman awam. Saya melihat (faktor) enam senjata api. Pasal tu saya cakap siasatan menyeluruh.
“Kalau (mungkin) hari raya nak buat kekacauan, kalau tak ditangkap, hari raya dia ‘havoc’, tak ke kacau (susah) kita? Itu yang saya nampak dengan (impak) enam senjata api.
“Dan dia (saspek) turun pun masa Ramadan, dan Hari Raya Aidilfitri tak berapa lama lagi. Nasib baik cekapnya anggota dan pegawai kita dari (IPD) Dang Wangi dan D9... dan maklumat pihak kita, berjaya untuk menangkap suspek ini,” katanya lagi.
Pada Jumaat, Razarudin mendedahkan penahanan suspek warga Israel itu di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lalu.
Polis turut menemui enam pistol termasuk SIG Sauer, Smith dan Wesson serta Glock selain 200 butir peluru.
Turut dijumpai, dua pasport dimiliki lelaki berkenaan iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.
Melalui soal siasat, suspek mendakwa datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaan itu.
Dalam pada itu Razarudin berkata, setakat ini polis telah membuka dua kertas siasatan, masing-masing untuk lelaki Israel tersebut, serta pasangan suami isteri yang ditahan kerana disyaki menyediakan senjata berkenaan.
"Siasatan kita buat pada awalnya bawah seksyen 12 Akta Pasport 1966, tetapi bila kita jumpa senjata, kita telah mengklasifikasikan semula siasatan di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971, hukuman lebih berat, iaitu hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan sebat.
“Siasatan kita menjurus kepada pencakapan saksi untuk kita tentukan bahawa siasatan ke arah Seksyen 7 ini dapat kita bentangkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat, dengan 23 saksi dari polis, dan juga orang awam,” katanya lagi.
Dalam pada itu Razarudin mendedahkan, senjata berkenaan diperoleh dari Thailand, dengan harga setiap satu sekurang-kurangnya RM10,000.
Bagaimanapun beliau enggan memperincikan hubungan antara suspek utama dengan pasangan suami isteri berkenaan, atas alasan boleh mengganggu siasatan.
“Daripada siasatan ini, senjata itu memang diambil di Thailand. Saya kena mengaku bahawa ada juga kelompongan (penguatkuasaan) di situ yang boleh bawa masuk (seludup) senjata api atau lain-lain contraband ke Malaysia. Kita masih kuatkuasakan undang-undang untuk kita jaga sempadan ini dengan baik,” katanya lagi.
#Ketua Polis Negara #lelaki Israel #Avitan Shalom #motif
;