Persaingan kuasa besar antara cabaran ASEAN - Setiausaha Agung

Bernama
Jun 5, 2024 23:15 MYT
Dr Kao berkata persaingan kuasa besar adalah antara cabaran yang dihadapi oleh ASEAN. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: ASEAN, yang selalu menjadi blok serantau yang kukuh, dinamik dan tangkas, menghadapi cabaran daripada kuasa-kuasa besar, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Dr Kao berkata persaingan kuasa besar adalah antara cabaran yang dihadapi oleh ASEAN.
"Memastikan wujudnya identiti ASEAN dalam kalangan generasi muda juga merupakan cabaran lain bagi rantau ini," katanya dalam ucapannya bertajuk "ASEAN pada 2025: Merenung Masa Lalu, Membentuk Masa Depan" pada persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-37, di sini pada Rabu.
Seorang lagi ahli panel dalam sesi itu, Prof Dewi Fortuna Anwar, juga bersetuju bahawa persaingan kuasa besar adalah satu daripada cabaran terbesar ASEAN.
Apabila kuasa besar berbaik-baik, ASEAN dapat berfungsi dengan baik tetapi apabila kuasa besar bersaing, kumpulan ini menjadi terhimpit, tambahnya.
Menurut Dewi Fortuna, ketegangan adalah baik untuk perkumpulan kerana ia boleh memanfaatkan fungsi blok itu. Namun, terlalu banyak ketegangan adalah buruk, katanya.
Mengenai isu Myanmar, beliau berkata perlu ada utusan khas ASEAN mengenai Myanmar yang akan mempunyai masa dan keupayaan untuk mengetahui apa yang berlaku di lapangan dan memperoleh kepercayaan daripada pelbagai pihak berkepentingan, supaya terdapat sokongan yang lebih jelas (untuk Myanmar).
"Saya berpendapat perlu ada sebuah pusat penyelarasan di sekretariat ASEAN yang semua utusan ASEAN boleh berkumpul dengan sokongan kesetiausahaan yang khusus untuk memberi taklimat atau laporan dan mungkin, menyelaraskan semua perkara.
"Apa yang kita ada sekarang ialah utusan pengerusi ASEAN di Myanmar yang bertukar setiap tahun," katanya sambil melahirkan harapan bahawa perkembangan itu akan menjadi kenyataan semasa Malaysia menjadi pengerusi ASEAN tahun depan.
Menurut Dewi Fortuna, isu Myanmar mencetuskan penghijrahan paksa. Oleh itu, perlu ada respons yang diselaraskan di ASEAN.
Malaysia akan mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN tahun depan, menggantikan Laos.
Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan pengerusi sebanyak empat kali, pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Dianjurkan oleh sebuah badan pemikir Malaysia, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), meja bulat ini berfungsi sebagai platform untuk menangani isu-isu penting yang mempengaruhi rantau Asia-Pasifik.
Dengan tema "Krisis dalam Tempoh Peralihan", Meja Bulat Asia-Pasifik ini mencerminkan keadaan semasa hal ehwal geostrategik.
Acara ini menarik lebih 300 pemikir dari pelbagai latar belakang yang terlibat dalam perbincangan yang terbuka dan konstruktif mengenai isu-isu yang membentuk keselamatan, kestabilan, kelestarian dan kemakmuran rantau ini.
-- BERNAMA
#ASEAN
;