Perpindahan pangkalan TUDM Butterworth masih dikaji, keputusan diumum kemudian

Astro Awani
November 10, 2015 18:03 MYT
REEZAL: Kerajaan masih belum membuat keputusan akhir berhubung cadangan memindahkan pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth.
Kerajaan masih belum membuat keputusan akhir berhubung cadangan memindahkan pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth bagi memberi laluan kepada pembangunan hartanah di kawasan tersebut.
Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kerajaan masih memerlukan masa untuk mengkaji cadangan tersebut dari pelbagai sudut kerana ia melibatkan projek berskala besar.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai status projek tersebut dan memaklumkan keputusan berhubung cadangan berkenaan akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
“Biarlah saya tidak mengulas apa-apa mengenainya kerana hanya Perdana Menteri yang layak membuat pengumuman tersebut. Lagipun kita tidak mahu tergesa-gesa.
“Dalam perkara yang melibatkan sesuatu yang besar seperti itu memerlukan banyak kajian dan pertimbangan mendalam kerana ia juga melibatkan banyak pihak yang berkepentingan,” ujar beliau.
Reezal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus yang kerajaan telah meluluskan projek terbabit baru-baru ini.
Pangkalan TUDM Butterworth yang terletak di Teluk Air Tawar itu difahamkan akan dipindahkan ke kawasan Ara Kuda, Tasek Gelugor bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula kawasan berkenaan oleh pihak swasta.
Cadangan itu bagaimanapun sebelum ini mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk penduduk sekitar kawasan itu.
Media sebelum ini melaporkan cadangan penempatan semula dan pembinaan semula pangkalan TUDM Butterworth akan dikendalikan oleh TSR Capital Berhad, yang merupakan usahasama antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan pembinaan Bukit Timah Sdn Bhd.
TSR akan memegang saham 51 peratus manakala LTAT dan Bukit Timah masing-masing akan memegang 30 peratus dan 19 peratus saham.
Reezal ditemui media selepas berkunjung ke rumah Ketua MIC Bahagian Kepala Batas, Pulau Pinang, Datuk SST Muniandy di Kampung Kovil sempena sambutan Hari Deepavali pada Selasa.
#Butterworth #pangkalan udara #pemindahan #TUDM
;