Perpecahan umat Islam merunsingkan - Tokoh Maal Hijrah Perak

Abd Razak Mohd Ali
September 11, 2018 15:15 MYT
Penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Perak 2018 Ahmad Awang (kanan) dan penerima anugerah Tokoh Ar Ridzuan yang juga Kartunis Negara, Datuk Mohammad Nor Khalid (kiri) bergambar bersama pada Sambutan Maal Hijrah hari ini. Foto Bernama
Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak 1400H, Ahmad Awang menyifatkan perpecahan di kalangan umat Islam, termasuk di Malaysia sekarang ini sebagai merunsingkan.
Bagaimanapun, kata bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) itu, ia belum sampai ke tahap berlaku peperangan seperti di negara-negara Islam lain di Timur Tengah seperti Iraq, Iran, Kuwait, Syria dan Somalia di Afrika.
Sehubungan itu, beliau berharap supaya rakyat, termasuk umat Islam seluruh dunia, menghayati titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar menghayati semangat perpaduan di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah.
“Kita bersyukur di rantau Melayu belumlah sampai ke tahap hendak berperang, namun kita melihat gejala-gejala perpecahan umat, khasnya di negara kita, merunsingkan.
“Maka apa yang dititahkan oleh Padukan Seri Sultan Perak sangat wajar dihayati oleh semua rakyat, bukan hanya di Perak, rakyat Malaysia dan umat muslim di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak Tahun 1440H / 2018M di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini, hari ini.
Selain beliau, kartunis terkenal, Datuk Mohammad Nor Khalid yang lebih dikenali sebagai Datuk Lat, menerima anugerah Tokoh Ar-Ridzuan pada majlis yang sama.
Ahmad yakin, dengan pemerintahan kerajaan baharu sekarang, akan berlaku perubahan besar di dalam negara, khususnya ke arah kesetiaan kepada Allah dalam usaha membangunkan sebuah keluarga dan masyarakat.
Sementara itu, Lat pula berkata, beliau berkarya dari muda hingga sekarang semata-mata untuk menyampaikan mesej baik kepada masyarakat di samping menghubungkan silaturrahim.
“Saya melukis kartun sejak zaman sekolah dengan dorongan keluarga, guru dan rakan-rakan di samping pelukis-pelukis senior zaman dahulu.
“Tujuan berhubung dengan masyarakat dan menyampaikan mesej yang baik dan menghubungkan silaturrahim, itu sebab dapat sambutan di dalam dan luar negara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menyangka menerima anugerah itu kerana mungkin ramai lagi di luar sana yang lebih layak menerimanya.

#Ahmad Awang #Datuk Lat #Islam #Maal Hijrah #Mohammad Nor Khalid #Persatuan Ulama Malaysia #PUM #rakyat Malaysia #Sultan Nazrin Muizzuddin Shah #Sultan Perak
;