Perpecahan orang Melayu menyebabkan mereka dipandang rendah bangsa lain - Tun Mahathir
Firdaus Azil
Oktober 6, 2019 12:58 MYT
Oktober 6, 2019 12:58 MYT
Orang Melayu sendiri yang menggadai kuasa yang diberikan sehingga akhirnya maruah mereka dipijak dan dipandang hina bangsa lain, tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, orang Melayu yang menjadi bangsa majoriti di negara ini sepatutnya bersatu, tetapi bangsa itu sudah berpecah kepada kumpulan kecil, sehingga tidak mampu menguasai walalupun separuh daripada sokongan rakyat.
“Ini yang kita lakukan kepada diri kita..bukan orang lain. Kita sendiri melakukan perpecahan ini, dan apabila kita pecah, kita jadi kumpulan yang kecil, maka kita berlawan sesama kita, apabila kita berlawan sesama kita, maka terpaksa kita bergantung kepada orang lain untuk mendapat kemenangan.
“Bila kita bergantung kepada orang lain, kita terhutang budi, dan kita takut kalau kita tak dapat sokongan mereka, kita tak dapat tempat bagi diri kita,” katanya sewaktu menyampaikan amanat di Kongres Maruah Melayu, di Stadium Malawati, di sini hari ini.
Terdahulu, kongres menyaksikan pembentangan resolusi enam kluster - budaya, agama, pendidikan, ekonomi, dan politik - yang diserahkan kepada Perdana Menteri sebelum beliau menyampaikan amanat.
Berucap lanjut, Dr Mahathir berkata, peluang ekonomi di negara ini sepatutnya dimiliki orang Melayu, namun bangsa itu lebih gemar memberi peluang dan nikmat itu kepada orang lain.
“Kita mesti terima perkara benar, yang mana dalam negara kita kerana kita tak sanggup jalankan tugas tertentu, dan kita benarkan orang asing jalankan tugas-tugas ini.
“Hari ini mereka sudah maju jauh ke hadapan, dan kita pula ketinggalan di belakang,” ujar Perdana Menteri lagi.
Justeru, Dr Mahathir berkata, iltizam untuk memulihkan maruah orang Melayu, bukan semata-mata mengharapkan bantuan orang lain, tetapi atas keazaman diri sendiri.
"Maruah kita bukan tercapai kerana kita diberi peluang, kerana kerajaan menolong kita, (sebaliknya) maruah kita bergantung kepada kecapaian kita.
“Kalau kita menjadi satu bangsa yang mampu membuat segala-galanya, yang mampu mentadbir negara dengan baik, yang mampu bekerja dan mengeluarkan barangan tertentu, dan kita juga jadi kaya, maka tidak ada siapa yang akan menghina maruah kita,” jelasnya lagi.