Perpaduan umat Islam dan bukan Islam prasyarat pembangunan ekonomi mampan - PM Anwar

Firdaus Azil
Oktober 5, 2024 22:34 MYT
Anwar menghadiri MTHQA ke-64 Tahun 1446H/2024M di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Tidak semua negara Islam mempunyai ruang serta kesempatan untuk terus berada dalam keadaan aman damai, sekali gus peluang menikmati ekonomi yang kukuh dan berkembang seperti Malaysia, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia perlu mempunyai tekad untuk memahami maksud dan keperluan perpaduan dalam kalangan mereka, serta kekuatan dalaman yang seterusnya dapat dijadikan tonggak untuk negara membuat langkah seterusnya.
Tambah beliau, semangat perpaduan yang kental dalam kalangan rakyat, selain persefahaman dan pendamaian di antara kaum Islam serta bukan Islam, menjadi prasyarat dalam usaha membangunkan sebuah ekonomi mampan.
“Supaya kemampanan kita itu akan memberi pengertian yang berbeda, bukan setakat ekonomi kukuh, tetapi memberi keselesaan dan jaminan kepada rakyat, terutama rakyat miskin, bandar, desa dan pedalaman serta masyarakat lain yang merasakan diri mereka terpinggir.
“Saya mohon kebijaksanaan supaya negara Madani ini mengerti, kerana tidak banyak negara yang punyai ruang dan kesempatan dalam kerukunan hidup damai, yang meletakkan asas ekonomi kukuh, serta kini telah mendapat perhatian pelbagai bidang,” katanya.
Anwar berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Antarabangsa 1446H / 2024 (MTHQA) kali ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.
MTHQA kali ini melibatkan seramai 92 orang peserta keseluruhannya dari 71 buah negara, terdiri daripada peserta tilawah seramai 53 orang (39 lelaki, 14 perempuan) dari 41 buah negara, serta peserta hafazan seramai 39 orang (26 lelaki, 13 perempuan) dari 36 buah negara.
Malaysia kali ini diwakili empat orang peserta iaitu Mohamad Husaini Mahmur dari Negeri Sembilan Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu untuk kategori Tilawah; dan Muhammad Rifae’i Mat Zuki dari Kedah serta Putri Aminah Mohd Hanif dari Kelantan untuk kategori Hafazan.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, kira-kira 200,000 pelajar tahfiz di negara ini, perlu dipastikan untuk mempunyai kemampuan dan peluang menjadi tenaga penggerak kepada umat Islam Malaysia dalam meneroka bidang yang dahulu dilihat sebagai asing.
“Kita mahu umat Islam terus meneroka dalam bidang-bidang baharu yang dahulu asing dari kita. Sebab itu Maahad Tahfiz mencecah, yang rasmi dan tak rasmi, sudah hampir 200,000 pelajar itu dipastikan punyai kemampuan dan peluang untuk menjadi tenaga penggerak dengan kekuatan akhlak serta nilai mereka.
“Kemudian ditambah dengan kegiatan keupayaan teknikal dan profesional, dalam bidang tenaga, digital, kecerdasan buatan (AI), kerana ini akan menentukan kekuatan kita, kini dan masa depan,” tegasnya.
Justeru, Anwar memohon pengertian dan kebijaksanaan semua pihak, kerana pemikiran yang jumud dan langkah yang gopoh selain tidak bijaksana hanya akan menjadi hambatan serta cabaran kepada usaha tersebut.
#kecerdasan buatan #bidang tenaga #masa depan #terkini
;