Perpaduan perlu berterusan untuk pupuk patriotisme - Khairy

Bernama
Mac 25, 2017 18:07 MYT
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika sesi Dialog Pertahanan Transformasi Nasional 2050 (TN50) sempena Pameran LIMA'07 hari ini. - Gambar BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata wujud keperluan untuk memastikan semangat perpaduan yang berterusan dalam kalangan rakyat di negara ini demi memupuk semangat patriotisme.
Ini kerana kata beliau, pada masa ini perpaduan hanya dipamer pada detik-detik tertentu seperti meraikan kejayaan atlet pada temasya sukan dunia ataupun ketika negara menghadapi ancaman.
"...perlu ada perpaduan yang berterusan. Itu antara perkara yang perlu kita fikirkan (iaitu) untuk menjadi lebih patriotik dalam cara yang baik," katanya pada sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50), di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Khairy berkata kursus pembinaan sahsiah diri seperti Program Latihan Khidmat Negara antara elemen yang mampu mewujudkan perpaduan secara berterusan.
Dialog bertemakan 'Masa Depan Pertahanan Malaysia' itu diadakan bersempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2017 di sini.
TN50 yang dilancarkan pada 19 Jan lalu adalah aspirasi kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang berwibawa dari segi ekonomi, sosial dan minda. - BERNAMA
#Dialog TN50 #Hishammuddin Tun Hussein #Khairy Jamaluddin #TN50
;