Perpaduan negara: Semua pihak main peranan penting
Khairunnisa Kasnoon
Mei 18, 2013 14:45 MYT
Mei 18, 2013 14:45 MYT
Pengamal media disaran untuk lebih prokatif dalam menyebarkan maklumat berhubung isu perpaduan rakyat.
Menurut Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib Khalid, peranan itu penting dalam usaha Malaysia mengekalkan keharmonian negara.
“Sentimen perkauman perlu elak bagi menjaga perpaduan rakyat. Dalam hal ini media massa perlu memainkan peranan proaktif untuk sampaikan inspirasi perpaduan,” jelas beliau.
Bagi rakyat pula katanya, usah terpengaruh dengan dakyah anasir yang tidak senang dengan ketenteraman negara.
“Rakyat kini ramai yang celik politik dan jangan mudah terpengaruh dengan sentimen yang mengajak suasana huru hara kerana perpecahan akan merugikan semua pihak," kata Dr. Kartini lagi ketika ditemu bual Astro Awani.
Tambah beliau, apa yang harus dilakukan adalah memantapkan matlamat pembangunan negara tanpa mempolitiikkannya.
Beliau pada masa sama turut berpesan kepada parti-parti politik supaya bersikap lebih professional. Katanya, perbezaan ideology politik itu perlu diketepikan untuk mengekalkan keamanan negara.
“Kedua-dua parti politik perlu menjadikan matlamat pembangunan perpaduan itu untuk diterajui bersama dengan memantapkan ia (pembangunan perpaduan) tanpa mengikira dan diskriminasi parti,” tegas Dr. Kartini lagi.
Sikap itu jelasnya, bukan sahaja untuk kebaikan rakyat Malaysia malah menguntungkan negara secara amnya.
Dr. Kartini turut menambah, dalam negara yang multi etnik ini, para pemimpin seharusnya menjadi idola kepada rakyat selain menjalankan tugas tanpa diskriminasi terhadap mana-mana pihak.