Perpaduan nasional harus bermula dengan pemerkasaan unit keluarga di rumah
Israr Khalid
September 15, 2022 06:00 MYT
September 15, 2022 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Terlalu banyak pemimpin, advokat, aktivitis malah rakyat kebanyakan sendiri cenderung untuk melihat dan menggerakkan usaha membentuk, mengekalkan serta memperkukuhkan perpaduan itu dari peringkat yang tinggi - inisiatif kerajaan misalnya.
Bagaimanapun, ia sepatutnya bermula dari unit masyarakat yang terkecil, yakni keluarga di rumah itu sendiri yang perlu diperkasakan setiap anggotanya.
Andai kita sedari hari ini, keutuhan sesebuah keluarga itu selalu disandarkan pada kaum wanita, lantas wujud pelbagai program untuk memperkasakan kaum itu yang selama ini dilihat sebagai ‘kaum yang lemah’ dalam dunia yang dikuasai oleh lelaki.
Bercakap dalam program Agenda AWANI, pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Ministry of Marketing Asia, Niney Chong berpendapat bahawa seluruh konsep itu perlu diperbetulkan.
“Ada banyak program-program pemerkasaan wanita, tapi soalan saya di mana program pemerkasaan lelaki?
“Jika kita berfikir dengan objektif dan rasional, agenda pemerkasaan itu berlaku untuk wanita tapi apabila dia pulang ke rumah, dia berhadapan dengan suami yang tidak berdaya, tahap stres menjadi tinggi, maka pertelingkahan tetap berlaku.”
Suami yang tidak berdaya yang dimaksudkan adalah lelaki tidak membantu dalam hal ehwal urusan rumah, tidak punyai empati, tidak bijak mengawal emosi, pentingkan diri dan seumpamanya yang bukan nilai-nilai murni dan terpuji yang sepatutnya dimiliki oleh mereka yang menggelarkan dirinya ‘ketua keluarga’.
Maka apabila hubungan suami isteri itu tidak sihat, ia akan dilihat oleh anak-anak di rumah - generasi yang akan menjadi peneraju masyarkat di masa hadapan - dan pastinya segala tabiat dan perlakuan ibu bapanya akan diikuti, sedar mahupun tidak.
Maka oleh hal yang demikian, Niney merasakan bahawa kaum lelaki juga harus diperkasakan untuk melengkapi pasangannya dalam sesebuah institusi keluarga yang dilihat beliau sebagai unit paling penting dan asas sebelum kita pergi ke skop yang lebih besar.
“Jika wanita diperkasa, lelaki pun diperkasa maka kualiti keluarga itu akan meningkat sekali gus apa yang dilihat oleh anak-anak akan menjadi lebih positif.
“Apa yang perlu kita lakukan adalah kesedaran ini, pendidikan tentang ini harus bermula dalam unit keluarga di mana ia bukan tentang pemerkasaan wanita sahaja, tetapi tentang pemerkasaan secara seluruhnya.
“Bermakna bagaimana sesebuah unit keluarga itu dapat diperkasakan, bagaimana ia dapat menyumbang kepada meningkatkan kualitinya untuk generasi akan datang dan bagaimana ini dapat menyumbang kepada gambaran yang lebih besar tentang perpaduan.”
Perkara yang sama juga menurut Niney dapat diterapkan dalam aspek agama, kaum dan budayanya di mana kita harus saling mempelajari dan mengenali antara satu dengan yang lain untuk membina persefahaman yang lebih mendalam ketika kita tiada pilihan selain untuk hidup bersama.
“Jadi satu-satunya jalan untuk kita bergerak ke hadapn adalah untuk bekerja bersama, dan ianya perlu bermula dari rumah.”
Ikuti temu bual bersama Niney Chong di sini: