Perpaduan kaum, kepelbagaian budaya bukan suatu yang kekal tanpa usaha - Aaron
Bernama
November 23, 2024 04:15 MYT
November 23, 2024 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Perpaduan kaum dan kepelbagaian budaya di negara ini perlu terus diperkukuh oleh semua pihak dan tidak boleh mengambilnya sebagai sesuatu yang kekal tanpa usaha, kata Menteri Perpaduan Negara. Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata, untuk tahun ini, kementerian telah melaksanakan lebih 300 program berimpak tinggi bagi memperkukuh perpaduan kaum.
"Pada hari ini, kita boleh berbangga bahawa Malaysia adalah antara negara yang berjaya mengekalkan keamanan walaupun mempunyai kepelbagaian kaum. Bagaimanapun, cabaran dunia moden termasuk penggunaan media sosial dan polarisasi masyarakat, memerlukan kita untuk terus waspada.
"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan warisan ini terus terpelihara kini dan untuk masa depan," katanya berucap merasmikan Festival Anak Sarawak di sini pada Sabtu, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim.
Menyentuh mengenai festival berkenaan, Aaron berkata, ia bukan sahaja menjadi medan untuk meraikan keindahan warisan budaya tetapi juga ruang memperkukuh hubungan antara komuniti dan menyemai nilai murni yang menjadi tunjang perpaduan.
"Festival Anak Sarawak hari ini adalah manifestasi bagaimana budaya boleh menjadi alat penyatuan. Kekayaan etnik di Sarawak seperti Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melayu Sarawak, Melanau, Cina, dan lain-lain telah membuktikan dan mencerminkan satu keunikan luar biasa.
"Melalui festival ini, kita bukan sahaja meraikan identiti budaya kita, tetapi juga mengukuhkan ikatan sebagai satu keluarga besar rakyat Malaysia," katanya. - BERNAMA