Perpaduan kaum di Malaysia harus ditekankan dalam program diplomasi budaya

Ian Johan Ariff
Mac 12, 2022 15:30 MYT
Diplomasi budaya menjadi semakin popular untuk mempromosi budaya negara masing-masing menerusi filem, muzik, acara persembahan dan juga makanan seperti yang dilakukan negara Asia seperti Jepun, Korea dan China.
MALAYSIA harus menjadi contoh kepada negara lain kerana berjaya mencapai persefahaman bersama antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Ia harus ditekankan dalam semua program diplomasi budaya yang kini merupakan salah satu Kerangka Dasar Luar baharu yang digubal Wisma Putra.
Berbanding dengan negara lain, Malaysia lebih celik dalam budaya kerana wujud komunikasi yang berkesan antara budaya di negara ini.
Perkara tersebut disampaikan Profesor Datuk Osman Bakar semasa program Focus In Continuity: Roundtable Discussion on Cultural Diplomacy, di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) baru-baru ini.
Menurut Osman, Malaysia perlu membentangkan usaha diplomasi budaya dengan mempromosi pencapaian sebagai sebuah negara yang aman walaupun terdapat pelbagai kaum dan agama.
"Ia amat penting bagi kita untuk membentangkan kejayaan ini tatkala berlaku banyak peristiwa buruk sedang berlaku di negara Barat.
"Dalam erti kata lain, ini adalah masa terbaik untuk mempromosi kejayaan kita mencapai penyatuan dalam kepelbagaian agama dan kaum di Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk yang unik.
"Bagi saya, kita tidak boleh jadikan negara Barat sebagai contoh... kita patut menjadi contoh kepada negara lain," jelas Osman.
Tambah beliau, walaupun Malaysia lebih celik budaya berbanding orang barat, namun, masih ada ruang untuk menambah baik kejayaan yang sudah dicapai.
Sementara itu, seorang lagi panelis diskusi tersebut, Asma Abdullah berkata, cabaran bagi Malaysia untuk diplomasi budaya adalah menentukan apakah identiti Malaysia yang dipromosi ke luar negara.
"Perspektif Malaysia bagi seorang kaum Melayu adalah berbeza dengan kaum Cina, India, Bumiputera dan kaum lain. Justeru, kita perlu menentukan apa itu Malaysia dan ia satu usaha yang masih dijalankan kerana kita sentiasa mengubah pembatasan kita.
"Saya merasakan kita perlu ada mesej yang kukuh dibawa semua kementerian semasa mempromosi Malaysia ke luar negara untuk ada pandangan yang konsisten mengenai apakah bangsa Malaysia," jelas Asma.
Diplomasi budaya bukan satu perkara baharu dan usaha tersebut jelas dilihat apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf peranan budaya popular sebagai salah satu cara diplomasi antarabangsa dengan melantik pelakon dan penyanyi, Danny Kaye sebagai Duta Muhibah UNICEF yang pertama pada 1954.
Diplomasi budaya menjadi semakin popular untuk mempromosi budaya negara masing-masing menerusi filem, muzik, acara persembahan dan juga makanan seperti yang dilakukan negara Asia seperti Jepun, Korea dan China.

* Saksikan siaran ulangan program Focus In Continuity: Roundtable Discussion on Cultural Diplomacy pada 18 Mac ini (Jumaat) pukul 11 malam di Astro AWANI.
#Focus in Continuity #Wisma Putra #diplomasi budaya
;