Perpaduan kaum belum sempurna, masih ada gagal kuasai bahasa kebangsaan - Agong

Nabilah Khaleeda
Februari 26, 2024 12:50 MYT
Sultan Ibrahim menyeru kepada kerajaan untuk rangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Setelah 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna, titah Sultan Ibrahim.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, ini kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.
"Oleh itu saya menyeru kepada kerajaan untuk rangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.
"Pepatah Melayu ada menyebut, melentur buluh biarlah dari rebungnya, yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa depan yang bersatu padu dan saling memahami kita mesti membentuk mereka sejak dari kecil," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada perasmian serentak Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15.
Dalam masa sama, Sultan Ibrahim tmenyeru semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif yang tidak libatkan raja, kaum dan agama.
"Perlembagaan telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara dan akan terus kekal dipelihara dengan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman namun tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.
"Oleh itu, jangan ada mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mempolitikkan asas Perlembagaan ini," tegas baginda lagi.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menyatakan rasa berpuas hati dengan usaha kerajaan dalam menyelesaikan perkara perkara berkaitan Perjanjan Malaysia 1963 dan berharap ia memenuhi hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama.
#Parlimen #perpaduan #bahasa kebangsaan #Yang di-Pertuan Agong
;